PENERIMA Anugerah Pelajaran Diraja, Nur Athirah (tengah), Loh (kiri) dan Muhammad Taqi'uddin menunjukkan sijil dan pingat masing-masing. FOTO Amran Hamid
PENERIMA Anugerah Pelajaran Diraja, Nur Athirah (tengah), Loh (kiri) dan Muhammad Taqi'uddin menunjukkan sijil dan pingat masing-masing. FOTO Amran Hamid
HM Digital

JADUAL padat dengan aktiviti sukarela tidak menghalang graduan kacukan Melayu, Cina dan India cemerlang dalam pengajian sekali gus menerima anugerah Pingat Emas Canselor pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, semalam.

Muhammad Taqi’uddin Mohd Hamzah Murghayah, 28, menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam dengan kepujian Purata Mata Kumulatif (PMK) 3.92.

Menurutnya, kejayaan itu yang dikecapi tidak datang bergolek kerana memerlukan pengorbanan tinggi sebagai penuntut, anak dan pemimpin dalam aktiviti di universiti.

“Saya hanya tidur empat jam sehari namun pada masa sama, saya turut mengamalkan petua nenek yang berbangsa Cina iaitu dengan mengambil herba bagi membantu menguatkan ingatan serta tenaga.

“Ia sedikit sebanyak membantu saya fokus ketika kuliah dan mengikuti aktiviti kesukarelawanan,” katanya yang juga anak sulung daripada 10 beradik.

Sementara itu, penerima anugerah Pelajaran Diraja, Nur Athirah Rushami Zien, 23, berkata, dia tidak mempunyai resipi kejayaan yang luar biasa kecuali sentiasa fokus ketika kuliah.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan ini berjaya menamatkan pengajian dengan PMK 3.99.

Katanya, biarpun program pengajian yang diikutinya baru diperkenalkan, namun dia sentiasa gigih untuk cemerlang setiap semester meskipun sibuk dengan aktiviti kokurikulum.

“Ia kursus baharu, sukar juga buat saya. Apatah lagi, hanya 13 orang mengikuti kursus ini.

“Syukur, dengan kerjasama baik daripada rakan sekelas serta pensyarah, segalanya dipermudahkan,” katanya yang berasal dari Perlis.

Muhammad Taqi’uddin dan Nur Athirah serta seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Loh Mei Chwin, 23, (Ijazah Sarjana Muda Perakaunan) menerima anugerah berkenaan yang disempurnakan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah yang juga Canselor UUM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:10 AM
Digital NSTP Subscribe