AYUS bersama anaknya di rumah mereka di Kampung Kuala Koh. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


“LEBIH dua bulan emak tidak balik ke rumah kerana membawa diri ke hutan bagi melupakan tragedi tiga adik-beradik saya yang meninggal dunia akibat jangkitan demam campak Jun lalu.

“Emak lebih tenang berada di hutan daripada tinggal di rumah ini selepas tragedi itu,” kata Ayus Hamdan, 24, Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh di Gua Musang, hari ini.

Ayus berkata, ibunya, Som Ngai, 50, mengambil keputusan tinggal di hutan tidak jauh dari kampung itu kerana fikirannya terganggu dengan tragedi yang menyebabkan tiga anaknya meninggal dunia iaitu Romi Hamdan, 29; Leha, 26, dan Din, 18.

Katanya, walaupun tragedi itu sudah lebih empat bulan lalu, tetapi ibunya tidak dapat melupakan tiga anak kesayangannya yang meninggal dunia.

“Saya tidak tahu emak tinggal di kawasan hutan mana kerana ketika pergi, dia tidak memaklumkan kepada kami,” katanya.

Katanya, ibunya itu sudah biasa tinggal di kawasan hutan kerana kerap keluar masuk hutan ketika arwah bapanya, Hamdan Keladi masih hidup.

Menurutnya, kebiasaan ibunya mengambil masa antara seminggu hingga dua minggu masuk hutan dan selepas itu dia akan pulang semula ke rumah.

“Apapun kami tidak bimbang dengan keselamatan emak kerana mungkin ada lagi penduduk lain ada bersama dia di hutan walaupun sudah lama tidak pulang.

“Kami masih mempunyai tiga lagi adik-beradik selepas tragedi itu dan tinggal bersama di rumah di kampung ini,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan tragedi jangkitan kuman demam campak pada Jun lalu menyebabkan tiga adik beradiknya antara 15 Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, meninggal dunia.

Berikutan kejadian, 112 lagi penduduk kaum itu yang turut dijangkiti penyakit terbabit menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 4:13 PM