NORDIN mengambil keputusan menghentikan operasi Rumahku Muziumku selepas menjadi sasaran pencuri di Kampung Padang Temu.
Nazri Abu Bakar


KOLEKSI barangan antik yang kerap hilang punca pemilik muzium persendirian Rumahku Muziumku di Kampung Padang Temu di sini, terpaksa menutup operasinya.

Pemiliknya, Nordin Ali, 81, berkata, dia sedih dan kecewa apabila ada segelintir pengunjung sengaja membawa keluar barang antik tanpa pengetahuan dan kebenarannya.

Dia turut kesal apabila rumahnya menjadi sasaran pencuri dan terbaru, mangkuk tembaga terapi tangan dibeli dengan harga RM1,800 lebih 10 tahun lalu dan seterika antik hilang pada September lalu.

Katanya, dia membuat laporan polis pada 21 September lalu.

“Insiden itu menyebabkan saya nekad menutup muzium ini daripada orang ramai bagi mengelakkan ia berulang.

“Selain kejadian September lalu, beberapa koleksi lain pernah hilang sebelum ini termasuk dua keris lama berusia lebih 100 tahun, kacip tembaga, kerambit, gobek tembaga, bekas kemenyan naga, tepak sirih lama dan mangga kunci Cina buatan tahun 1800.

“Turut lesap, sekeping duit cap ayam, duit syiling lima sen bernilai RM450, sekeping duit RM20 lama, RM10 lama, seterika, gigi emas dalam bekas antik, acuan kuih udang galah dan dulang tembaga,” katanya ketika ditemui di sini.

Nordin berkata, nilai kerugian wang bukan keutamaan yang hendak diutarakan, tetapi sedih berikutan barangan antik bernilai yang hilang sukar dicari ganti.

“Faktor utama kehilangan barang ini disebabkan kedudukan barangan yang diletak secara terbuka dan penglihatan agak terjejas selain kesukaran saya dan isteri, Maznah Ali, 60 tahun mengawal selia semua koleksi berkenaan,” katanya sedih.

Katanya, faktor usia dan tahap kesihatan tidak menentu seperti menghidap serangan darah tinggi, tiroid dan jantung juga antara punca ada pihak tidak bertanggungjawab mudah melarikan peralatan terbabit.

Muzium yang dibuka sejak 2002 itu menempatkan lebih 2,500 artifak antik termasuk peti nyanyian dan radio berusia lebih 120 tahun, set pinggan mangkuk, barangan tembaga dan lampu isyarat kereta api arang batu berusia 115 tahun.

Turut dipamerkan peluru meriam tinggalan Belanda berusia lebih 1500 tahun, pelita pekerja rumah api Belanda berusia 400 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 6:05 AM