GULA-GULA 'ghost smoke' yang dirampas KPDNHEP. FOTO Zain Ahmed

TIADA lagi peruncit mahupun mana-mana pihak didapati menjual ‘ghost smoke’ selepas penjualan gula-gula itu diharamkan dalam pasaran negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, penguat kuasa kementerian itu telah mengambil tindakan segera selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan arahan untuk mengharamkan penjualan ‘ghost smoke’.

“Kajian makmal telah dibuat oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM dan mendapati tiada apa-apa bahan kimia yang dipercayai boleh memudaratkan pengguna.

“Walau bagaimanapun, gula-gula terbabit akan mengeluarkan asap serupa rokok apabila dimakan kanak-kanak. Atas sebab itu KKM telah mengeluarkan arahan untuk mengharamkan penjualannya dan penguat kuasa kita menjalankan operasi dengan segera.

“Setakat ini tak ada lagi mana-mana pihak atau peruncit yang menjual gula-gula ‘ghost smoke’ ini di pasaran negara,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) yang ingin tahu berkenaan isu ‘ghost smoke’ dan langkah pencegahan penjualannya khusus dalam kalangan murid.

Chieng Jen berkata, selain menggerakkan penguat kuasa di seluruh negara, pihaknya bekerjasama dengan KKM melalui perkongsian maklumat risikan.

Beliau berkata, pihaknya juga membuat hebahan setiap operasi dijalankan bagi meningkatkan kesedaran dan amaran kepada peniaga supaya tidak menjual gula-gula berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 2:08 PM