Nur Saliawati Salberi


KESERONOKAN tujuh rakan mandi-manda di lombong Tasik Biru Chinchin, Jasin berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, hari ini.

R Kishen, 20, dikatakan ke lombong berkenaan bersama rakannya pada jam 8.20 pagi dengan lima daripada mereka mandi, manakala dua lagi duduk di tebing.

Bagaimanapun, hampir sejam mandi-manda, Kishen disedari hilang oleh rakannya yang cuba mencari di kawasan sekitar namun gagal temui dan segera menghubungi talian kecemasan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, Penolong Penguasa Bomba Rahizam Ruzali berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 10 pagi, sebelum 12 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi pasukan, PPDA membuat pemeriksaan awal sebelum gerakan mencari dilakukan.

“Mangsa kemudian ditemui pada jam 11.58 pagi, kira-kira 10 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Rahizam berkata, ketika ditemui mangsa berada di dasar lombong yang berlumpur dengan kedalaman empat meter.

Mangsa yang kemudian dibawa naik ke tebing dan disahkan meninggal oleh pegawai perubatan.

“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat.

Katanya, kes itu disiasat sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 4:46 PM
R Kishen, 20, ditemui lemas selepas mandi bersama rakannya, hari ini. FOTO: Khairunisah Lokman.