PELBAGAI peluru, bom dan kelopak yang ditemui, malam semalam. FOTO Ihsan Pembaca.
Shamsul Munir Safini


PENEMUAN 689 peluru pelbagai jenis, dua bom tangan dan tiga kelopak di tingkat 15, Pangsapuri Sinar Bukit Dumbar, Georgetown, semalam, hasil siasatan terhadap anggota sindiket dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, pihaknya menahan suspek berusia 57 tahun pada 1 Oktober lalu dan suspek yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau dipercayai ditugaskan untuk menyimpan semua bahan letupan.

Katanya, barang larangan berkenaan disembunyikan dalam ruang khas hos bomba di tingkat 15 pangsapuri berkenaan dan ia dipercayai untuk kegunaan sindiket sekiranya diancam.

“Hasil soal siasat, suspek terpaksa membuka rahsia lokasi bahan letupan milik sindiket dianggotainya yang disembunyikan.

“Pemeriksaan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di lokasi itu pada 10.30 malam semalam, menemui sejumlah bahan letupan,” katanya.

Che Zaimani berkata, sepasukan polis Unit Pemusnah Bom IPK negeri turut dimaklumkan mengenai perkara itu sebelum hadir dan membawa balik semua bahan letupan itu.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta enam sebatan jika sabit kesalahan

Berita berkaitan:

  • Polis jumpa bom, peluru disorok
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 9:11 PM