MOHD Zaid (kiri) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Nor Azura Abdul Jalil


BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) menegaskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau adalah individu yang lebih layak menerangkan mengenai mandat FELDA berjumlah RM100 juta yang ditetapkan untuk FICSB.

Saksi pendakwaan ke-15, Mohd Zaid Abdul Jalil, 48, berkata, beliau berpendapat sedemikian memandangkan beliau beberapa kali hadir dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah FELDA sebagai jemputan berkaitan penubuhan FICSB.

“Ketika saya menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah Besar FELDA, Datuk Hanapi Suhada (bekas Pengarah Besar FELDA) adalah Pengarah Jabatan Tanah iaitu satu jabatan dibawah seliaan saya.

“Saya telah hadiri kebanyakan mesyuarat ahli lembaga pengarah FELDA atas jemputan dan banyak perkara dibincangkan antaranya mengenai penubuhan FICSB.

“Datuk Hanapi tidak hadir dalam mesyuarat itu dan inilah yang saya maksudkan (merujuk kepada penubuhan FICSB dan mandat yang diberikan Lembaga FELDA kepada FICSB) mengenai ada beberapa perkara yang saya lebih layak untuk terangkan,” katanya ketika diminta untuk menjelaskan mengapa beliau lebih layak menerangkan mengenai FICSB dan mandat pelaburan RM100 juta oleh FELDA.

Beliau berkata demikian pada sesi pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz pada hari kesembilan perbicaraan terhadap bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad berhubung kes pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang dihadapinya.

Terdahulu, Mohd Zaid dalam keterangannya menerangkan kepada mahkamah bahawa sebelum kewujudan FICSB, FELDA membuat pelaburan melalui Jawatankuasa Pelaburan FELDA dengan mandat pelaburan sebanyak RM50 juta.

” Apabila Lembaga FELDA membuat keputusan menubuhkan FICSB, fungsinya lebih kurang sama dengan Jawatankuasa Pelaburan Felda dari segi prosedur, peraturan dan sebagainya cuma yang membezakan antara keduanya adalah had pelaburan yang ditetapkan oleh Lembaga FELDA.

“Walaupun tak dinyatakan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) atau arahan bertulis dalam mesyuarat bilangan 303 pada Jun 2013.

“Pada pendapat saya, prosedur diguna pakai jawatan kuasa pelaburan FELDA boleh digunapakai FICSB bagi tujuan pembentangan kepada Lembaga FELDA,” katanya.

Dalam prosiding sama, saksi itu turut menjelaskan, beliau pergi ke Kuching, Sarawak pada awal November 2013 bersama Muhammad Zahid Md Arip (Pegawai Khas kepada Mohd Isa ketika itu) atas arahan Mohd Isa untuk membuat kajian awal mengenai Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS).

Mengenai pertemuan dengan Timbalan Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Datuk Abang Johari Abang Openg, Mohd Zaid berkata beliau tidak memaklumkan perkara itu kepada Mohd Isa kerana yakin Muhammad Zahid akan melakukan perkara itu berdasarkan kapasitinya sebagai pegawai khas Mohd Isa.

#kwmahkamah, #kwisa

Ends

From: Azura Abdul Jalil

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 9:12 PM