GAMBAR HIASAN
Ibrahim Isa dan Mary Victoria Dass


SUKAR dibenteras sepenuhnya. Itu rumusan golongan ibu bapa termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang mendapati penggunaan rokok elektronik atau vape masih berleluasa dalam kalangan pelajar dan murid sekolah.

Keadaan diburukkan apabila ada penjual cecair perisa vape atau peranti vape membenarkan pelajar membayar secara ansuran bagi memiliki alatan itu.

Golongan muda ini dikesan menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkannya dan merahsiakan perbuatan itu daripada ibu bapa serta pengurusan sekolah.

Bapa pelajar yang juga Naib Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah menengah di bandar raya ini, Shamsudin Baharon, 46, berkata, ada kes di kawasan perkampungan di Johor Bahru membabitkan pengusaha kedai membenarkan bayaran ansuran bagi mencukupkan harga alat vape sebelum diserahkan kepada pelajar dan murid.

Menurutnya, pelajar dan murid biasanya membayar menggunakan wang saku dibekalkan ibu bapa kepada pengusaha kedai tertentu.

“Misalnya harga rokok elektronik atau vape adalah RM30... apabila bayaran mencukupi, mereka boleh mendapatkan barangan berkenaan.

“Pelbagai cara diamalkan murid dan pelajar bagi menyorok aktiviti menghisap rokok elektronik daripada dikesan keluarga mahupun guru.

“Ia termasuk meminta penjual vape menyimpan dan hanya menggunakannya selepas pulang dari sekolah. Perbuatan itu diulangi setiap kali tamat waktu sekolah,” katanya.

Shamsudin berkata, tindakan itu membolehkan pelajar menghilangkan gian walaupun hanya mampu menghisap bagi tempoh singkat sebelum pulang ke rumah.

Menurutnya, pelajar dan murid seumpama ini mungkin boleh terjebak dalam gejala lebih serius apabila dihantui perasaan gian terhadap rokok.

“Malah mungkin boleh berlaku kematian dalam kalangan murid atau pelajar sekiranya perkara ini tidak dibendung.

“Sebelum nasi menjadi bubur, tindakan lebih berkesan perlu dilakukan dan bukan sekadar hanya membincangkannya,” katanya.

Shamsudin berkata, bukan setakat didikan dan memupuk kesedaran mahupun kaunseling, tindakan lebih berkesan perlu dilakukan berdasarkan bukti dikumpul.

Menurutnya, akta baharu seharusnya diperkenalkan bagi membolehkan pihak sekolah bekerjasama dengan jabatan tertentu bagi memastikan pelajar dan murid terjebak dalam isu ini diambil tindakan lebih berkesan.

“Pengusaha kedai yang menjual barangan berkenaan kepada remaja bawah umur perlu dikenakan tindakan serius dan bagi tujuan itu, pihak berkuasa perlu mengadakan tinjauan dan operasi berterusan.

“Walaupun wujud akta berkaitan namun sekiranya ia tidak dilaksanakan, tiada sebarang perubahan dapat dilihat.

“Misalnya berkaitan larangan menghisap rokok di tempat awam ia masih berleluasa walaupun pada peringkat awal ada tindakan dilakukan, kini orang ramai bebas melakukannya dan ia menjadi punca penduduk memandang remeh pelaksanaan sesuatu akta mahupun peraturan baharu,” katanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad minggu lalu mendedahkan, kajian penggunaan rokok elektronik atau vape di Malaysia sangat membimbangkan apabila 300,000 pelajar sekolah terbabit dalam gejala itu.

Daripada jumlah itu, 250,000 pelajar adalah lelaki manakala 50,000 pelajar perempuan.

Beliau melahirkan kebimbangan fenomena itu susulan kematian dikaitkan dengan vape adalah 28 kes di Amerika Syarikat dan satu di United Kingdom.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 6:10 AM