FOTO hiasan. FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PEMBURU haram sanggup bermalam selama tiga bulan di dalam hutan semata-mata mahu mengaut keuntungan beratus ribu ringgit memburu haiwan dilindungi selain pokok bernilai tinggi.

Bagaimanapun, kepakaran Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq menjejak dan mengesan pemburu haram berjaya menumpaskan kumpulan berkenaan dalam beberapa serbuan menerusi Ops Bersepadu Khazanah dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Serbuan turut dilakukan Batalion 18 PGA Pangkalan Hulu di beberapa lokasi hutan antaranya FELCRA Sungai Temau, Kuala Lipis, dan Hutan Simpan Taman Negara Endau-Rompin di Pahang; Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu, Terengganu serta Kampung Padang Kunyit, Gerik, Perak.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, serbuan dilakukan bermula 10 hingga 20 Oktober berjaya menahan 10 pemburu haram berusia 30 hingga 50 tahun.

“Tiga individu ditahan adalah rakyat tempatan yang menyimpan bahagian anggota haiwan dilindungi seperti kulit harimau, sisik tenggiling, duri landak dan siong hidupan liar.

“Polis turut merampas pelbagai jenis jerat, parang, khemah dan alatan mencari gaharu daripada individu berkenaan,” katanya ketika sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mastor berkata, siasatan mendapati semua pemburu haram tinggal di hutan selama sebulan hingga tiga bukan bagi mengambil khazanah negara seperti gaharu dan memburu haiwan liar.

“Pada awalnya, pemburu ini masuk ke hutan mencari kayu gaharu dan pada masa sama mereka akan memasang ratusan jerat bagi mendapatkan haiwan liar.

“Kumpulan pemburu akan memasang khemah transit dan tinggal di khemah berkenaan ketika pemburuan dilakukan,” katanya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk bahagian anggota haiwan dirampas bernilai RM908,000.

“Semua individu ini disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 176) dan Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 10:57 AM