Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS sedang mengesan pemburu haram yang dipercayai membunuh gajah Pygmy Borneo bagi mendapatkan gading di kawasan ladang, Beluran, Sabah, 20 Oktober lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, setakat ini suspek masih belum dikenal pasti.

“Susulan itu polis meminta individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil ke mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati gajah berkenaan ditemui mati dengan kesan luka dan tembakan lama serta dua gading hilang,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, siasatan berhubung kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 25(1) Enakmen Pemuliharaan 1997 kerana memburu haiwan yang dilindungi.

Terdahulu, gajah Pygmy Borneo ditemui mati dalam ladang di Beluran dengan kesan tembakan serta gading hilang.

Gajah dewasa itu yang dipercayai mati tiga hari sebelum ia ditemui pekerja ladang.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) Augustine Tuuga dilaporkan berkata, pasukan veterinar dan renjer ke lokasi sebaik mendapat maklumat dan masih menjalankan siasatan.

“Siasatan masih dibuat dan kita belum ada butiran lengkap mengenai kejadian.

“Berdasarkan siasatan awal, gajah malang itu ditembak dengan beberapa kesan kecederaan dan gadingnya hilang,” katanya.

Pada 25 September lalu, bangkai seekor gajah Pygmy Borneo ditemui di Sungai Udin, Dumpas di Tawau dengan 70 kesan tembakan.

Berita berkaitan:

  • Kes tembak gajah: Pengawal keselamatan ditahan
  • Lagi gajah Pygmy Borneo mati ditembak
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 11:13 AM
    BANGKAI gajah Pygmy Borneo dengan kesan tembakan dan gading hilang yang ditemui dalam ladang di Beluran. FOTO Jabatan Hidupan Liar Sabah