Mohd Hafizee Mohd Arop


PIHAK pendakwaan akan memanggil mangsa sebagai saksi pertama perbicaraan kes rogol membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, Paul Yong Choo Kiong, 11 November ini.

Namun, keterangan mangsa yang juga pembantu rumah warga Indonesia akan dijalankan secara tertutup selepas Hakim Norashima Khalid membenarkan permohonan peguam tertuduh.

Norashima yang sebelum ini menetapkan tarikh perbicaraan selama lima hari iaitu pada 11 hingga 15 November turut membenarkan permohonan perbicaraan dijalankan selama empat hari sahaja.

Ia bagi memberi ruang kepada tertuduh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 12 November.

Paul Yong didakwa merogol mangsa berusia 23 tahun antara 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai lalu di sebuah bilik di tingkat atas di Desa Meru 2, Meru Desa Park, Meru Raya.

Pihak pembelaan diketuai Leong Cheok Keng, Datuk Rajpal Singh dan Farhan Sapian.

Pendakwaan pula dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman.

Pada sebutan semula bagi pengurusan kes, hari ini, Azhar memberitahu pihaknya akan memanggil mangsa sebagai saksi pertama dan keterangan mangsa akan dilakukan secara persidangan video.

Namun ia dibantah Cheok Keng dan Rajpal dengan memberikan hujah bahawa mangsa bukannya di bawah umur sebelum memohon mahkamah menjalankan perbicaraan secara tertutup.

Norashima kemudian membenarkan permohonan itu.

Terdahulu, Choo Kiong tiba di Mahkamah Sesyen Ipoh jam 8.50 pagi dan disambut kira-kira 200 penyokong di luar perkarangan mahkamah.

Berita berkaitan

Kes rogol ADUN Tronoh: Wujud campur tangan politik?

Bicara kes rogol Paul Yong mula 11 November [METRO TV]

Yong bercuti, tumpu perbicaraan kes rogol

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 11:22 AM
YONG hadir untuk sebutan pengurusan kes rogol pembantu rumahnya warga Indonesia di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO MUHAIZAN YAHYA