GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


GELANDANGAN lelaki bukan sahaja dipaksa melakukan seks oral malah turut diliwat oleh rakan gelandangannya di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur, kelmarin.

Difahamkan, mangsa yang berusia 20 tahun itu baru sahaja mengenali suspek pada Jumaat lalu ketika berada di sekitar Dataran Merdeka sebelum dibawa ke jejantas berhampiran Jalan Hang Tuah.

Menurut sumber, ketika berada di jejantas, mangsa tiba-tiba ditumbuk sebelum suspek memaksanya melakukan seks oral.

“Mangsa turut diliwat dan diugut dipukul jika kehendak suspek tidak dituruti. Mangsa akhirnya berjaya melarikan diri ketika suspek menyuruhnya membeli burger pada 4.30 pagi, hari sama.

“Mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Tun H S Lee sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan terdapat kesan koyakan pada bahagian duburnya,” katanya.

Bagaimanapun, difahamkan tiada butiran diperoleh berkaitan suspek, namun polis sedang giat mengenal pasti lelaki berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan dan pihak polis kini sedang mengenal pasti suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 3:14 PM