FOTO hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


LIMA individu memfailkan saman terhadap Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Pakatan Harapan (PH) kerana didakwa melanggar janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) 14 untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman wang PTPTN.

Lima plaintif adalah Andry Putra Haris, 28; Farah Athirah Kamarozaman, 28; Mohamad Asrol Md Jailani, 27; Mohamad Muzakkir Mohamad Ali, 27, dan Mohammad Aswad Sobri, 34, yang diwakili peguam Adnan Seman memfailkan saman secara e-filing menerusi Tetuan Adnan Sharida & Associates, hari ini.

Mereka menamakan PTPTN selaku defendan pertama, PH selaku defendan kedua dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga.

Berdasarkan penyataan tuntutan, kelima-lima plaintif diwakili peguam Adnan Seman mendakwa janji manifesto ditaburkan calon parti bertanding tidak dilaksanakan dalam tempoh 100 hari seperti dijanjikan antaranya untuk menangguhkan balik pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang daripada RM4,000 sebulan.

Plaintif mendakwa janji diberikan defendan kedua dalam buku harapan adalah kontrak yang mengikat plaintif dan masyarakat untuk mengundi PH pada PRU lalu.

Sehubungan itu plaintif menuntut satu deklarasi bahawa janji ketika pilihan raya dan atau manifesto pilihan raya adalah satu kontrak mengikat kepada parti politik yang menang pilihan raya itu.

Selain itu, plaintif menuntut satu perintah defendan menangguhkan pembayaran balik PTPTN oleh semua peminjam yang mendapat gaji kurang RM4,000 sebulan.

Mereka turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi pengajaran, kos dan lain-lain relif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 3:45 PM