MENTERI Pendidikan, Dr. Maszlee Malik. FOTO Eizairi Shamsudin
Siti A’isyah Sukaimi


“KOMIK propaganda politik itu tidak pernah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan,” kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang menegaskan sekali lagi berhubung komik propaganda politik didakwa diedarkan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan tidak akan membenarkan pengedarannya ke sekolah di bawah kementerian itu.

“Semua sekolah yang menerima komik itu sudah diarahkan untuk tidak disebarluaskan.

“Kementerian Pendidikan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempergunakan sekolah sebagai alat propaganda murahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Maszlee berkata, beliau juga sudah mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk menyiasat segera jika terdapat mana-mana individu termasuk anggota dalaman yang bertanggungjawab membenarkan komik ini diedarkan di sekolah.

“Kementerian Pendidikan akan memastikan siapa sahaja, jika terbukti benar dakwaan ini, akan diberi tindakan tegas,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menasihatkan mana-mana ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan supaya kembali mematuhi semangat kedaulatan undang-undang dan tanggungjawab bersama.

“Saya juga ingin menggesa pimpinan DAP untuk mendisiplinkan ahli mereka supaya menghormati keputusan kerajaan dan patuh terhadap perlembagaan dan undang-undang negara. Kedua perkara inilah yang membina negara kita.

“Tindakan merendah-rendahkan parti komponen lain ialah tindakan biadab dan sangat tidak berasas.

“Budaya politik murahan begini hanya akan merosakkan keadaan. Ia membawa lebih banyak perpecahan malah membantutkan agenda reformasi yang sedang kita laksanakan,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, Kementerian Pendidikan mengambil keputusan melarang pengedaran komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ di sekolah dan institusi pendidikan berdasarkan nasihat Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Maszlee dipetik berkata, pihaknya bertindak atas nasihat KDN kerana menjadi dasar KPM supaya sebarang komik mendapat kelulusan KDN sebelum dibenarkan untuk diedar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 11:38 AM