POLIS menahan suspek disyaki merogol kanak-kanak berusia 12 tahun sehingga hamil di sebuah rumah pekerja di Teku, Sibu. FOTO IHSAN PDRM
Garret Dawum


SEORANG mekanik ditahan selepas disyaki merogol kanak-kanak berusia 12 tahun yang juga anak kepada teman wanitanya sejak Mei lalu sehingga hamil.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di rumah pekerja di Teku, Sibu, Selasa lalu, susulan laporan polis dibuat ibu saudara mangsa di Balai Polis Sungai Merah pada 9.45 malam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang tidak bersekolah dirogol di rumah pekerja sebanyak lima kali antara Mei hingga Julai lalu.

Beliau berkata, mangsa sebelum ini tinggal bersama ibu kandung dan suspek tetapi dijaga ibu saudaranya sejak dua minggu lalu kerana disedari tidak mempunyai selera makan serta lemah.

“Ibu saudara mangsa kemudian membawanya ke klinik sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Sibu selepas dimaklumkan tidak datang haid selama dua bulan.

“Ketika diperiksa, pegawai perubatan mendapati mangsa hamil namun tidak dapat dipastikan usia kandungannya dan menganggarkan kandungan berusia dua bulan berdasarkan tarikh akhir datang haid,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, mangsa adalah anak bongsu daripada tiga beradik.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 12:27 PM