Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali


KERAJAAN akan memberikan tumpuan kepada ekonomi ‘gig’ sebagai antara satu sumber pertumbuhan ekonomi baru dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, anjakan itu akan memberi peluang kepada anak muda khususnya graduan baru, suri rumah dan mereka dalam proses peralihan pekerjaan.

Menurutnya, ia sekali gus membawa mereka untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kemunculan ekonomi ‘gig’ ini akan membuka lapangan pekerjaan baru yang dapat meningkatkan pendapatan isi rumah dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perasmian majlis Makan Malam Simposium Peruncitan Kebangsaan 2019 anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di Kuala Lumpur hari ini.

Mohamed Azmin berkata, atas dasar itu PUNB perlu meneroka fungsi baru untuk sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan menggembleng generasi muda yang terbabit dalam ekonomi ‘gig’ bagi melonjakkan potensi perniagaan mereka.

Beliau yakin sektor PKS dan peruncitan boleh memainkan peranan besar dalam menjayakan objektif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang antara lain merapatkan jurang dalam rantaian nilai.

“Demi menzahirkan iltizam kerajaan mendukung pembangunan usahawan Bumiputera, kerajaan memperuntukkan geran sebanyak RM445 juta untuk tujuan pembiayaan, penyediaan premis perniagaan dan latihan keusahawanan.

“Peruntukan sebanyak RM150 juta juga disediakan untuk program pembangunan dan peningkatan kemahiran keusahawanan oleh PUNB.

“Saya yakin peranan PKS yang aktif dan rancak akan terus menyumbang kepada penciptaan kekayaan, pekerjaan dan kesegaran ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PKS mewakili 98.5 peratus daripada jumlah keseluruhan aktiviti keusahawanan negara pada 2018.

“Namun hakikatnya, PKS dan perniagaan mikro hanya menyumbang sebanyak 38.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya sambil menjelaskan sumbangan itu masih rendah jika dibandingkan dengan Indonesia (60.6 peratus), Jepun (54.5 peratus) dan Thailand (42.3 peratus).

Sehubungan itu, beliau berkata, kecerdasan buatan (AI) dan ‘Big Data’ boleh digunakan untuk merubah model perniagaan sektor peruncitan kepada model baru yang lebih cekap dan produktif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 10:08 PM