KAWASAN dilanda banjir di Baling. FOTO Ihsan Bomba
Safuri Kamarudin dan Zuliaty Zulkiffli


SEMBILAN puluh empat mangsa daripada 32 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Baling, selepas kampung mereka dilanda banjir semalam.

Ini adalah kejadian banjir yang keempat melanda daerah berkenaan dalam tempoh sebulan.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, mangsa mula berpindah sejak jam 12 tengah malam sehingga 7 pagi ini.

“PPS di Dewan Kampung Lalang menempatkan 22 mangsa banjir, Surau Kampung Baru (7), Dewan Orang Ramai Kampung Banggol Derum (21).

“Surau Kampung Lahar (25) dan Dewan Orang Ramai Kampung Batu 48 (19),” katanya.

Beliau berkata, hujan lebat berterusan selama lima jam sejak jam 6 petang semalam menyebabkan paras air di Rumah Pam Pulai mencatat 50.75 meter dan berada di paras bahaya.

Menurutnya, pelbagai agensi membantu operasi pemindahan mangsa banjir.

ANTARA kawasan terjejas di Mukim Relau. FOTO Ihsan APM

Sementara itu, di Bandar Baharu , 42 rumah di lima kampung dalam Mukim Relau, dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat, sejak semalam.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, antara kampung terbabit termasuklah Kampung 300 Kaki, Kampung Kelang Batu, Kampung Tengah Jalan Atas B, Kampung Paya Semambu dan Kampung Padang Relau.

Beliau berkata, hujan lebat lebih sejam bermula 7.30 malam menyebabkan air naik setinggi 0.4 meter (m) hingga 0.6 m, kira-kira 10 malam tadi.

“Kawasan itu kerap dinaiki air akibat banjir kilat, namun surut selepas itu. Namun, kita menjangkakan air akan naik lagi sekiranya hujan lebat berterusan.

“Bagaimanapun, setakat ini, tiada pemindahan dilakukan namun anggota kami bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan air naik sekali lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 9:43 AM