KEADAAN rumah Muhammad Hasrimazlan Hassan di Kampung Hilir, Jerlun selepas bumbung diterbangkan angin. FOTO Ihsan Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


“SAYA nampak pusaran angin ribut itu angkat satu persatu bumbung rumah kami termasuk alang kayu.

“Kejadian itu tak sampai satu minit tetapi habis bumbung hilang dicabut angin sehingga berterbangan ke dalam sawah,” kata penduduk Kampung Hilir, Jerlun, Muhammad Hasrimazlan Hassan, 33.

Dalam kejadian 5 petang semalam, enam rumah di dua kampung iaitu di Jerlun dan Kerpan tercabut bumbung akibat diterbangkan angin.

Menurut Muhammad Hasrimazlan, ketika kejadian dia berada dalam rumah bersama isteri, Sharmimi Manaf, 32, ibunya, Che Som Omar, 62, dan bapanya, Hassan Hashim, 64.

Selain itu, abang dan kakak iparnya turut berada dalam rumah berkenaan ketika kejadian.

“Masa tu langsung tak ada hujan dan tiba-tiba angin kencang disertai pusaran angin mengangkat terus bumbung rumah kami

“Kami semua yang ketika itu masing-masing duduk di ruang tamu dan bilik terus berlari menyelamatkan diri berlindung di bahagian dapur,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Muhammad Hasrimazlan berkata, sebaik bumbung semua ‘hilang’, barulah hujan turun dengan lebat menyebabkan bahagian dalam rumahnya basah.

Katanya, mereka semua hanya tidur di bahagian dapur yang tidak terjejas dalam kejadian itu.

“Rumah saya paling teruk kena hinggakan bangsal depan rumah pun rosak.

“Kerugian akibat kejadian ini dianggarkan sekitar hampir RM20,000 kalau nak baiki semula,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, pihaknya terus ke lokasi sebaik dimaklumkan berlaku kejadian ribut membabitkan enam rumah di daerah itu.

Beliau berkata, ini adalah kejadian kedua membabitkan ribut yang mana sebelum ini membabitkan 38 rumah penduduk di tujuh kampung di daerah ini minggu lalu.

Dalam kejadian itu, kampung yang terbabit adalah di Kampung Sungai Korok, Kampung Kepala 10, Kampung Permatang Keriang, Kampung Pida 4 Deli, Kampung Daleh, Kampung Sungai Korok Balai Pos dan Kampung Pida 4 Mukim Tunjang.

“Anggota kita sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana yang berlaku.

“Ini termasuk banjir kilat, ribut dan pokok tumbang yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Berita berkaitan:

  • 6 rumah rosak dibadai ribut
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 1:39 PM