PENGAMAL media dihalang daripada mengikuti prosiding kes pertuduhan dua ADUN bersama seorang Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan negeri yang dipercayai memberi sokongan kepada LTTE di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh. FOTO Khairunisah Lokman
Nurul Fhatihah Zakinan


KIRA-kira 20 petugas media Melaka yang membuat liputan kes pendakwaan di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, hari ini dihalang daripada mengikuti prosiding dalam kamar.

Bukan saja dihalang mengikuti prosiding pendakwaan tetapi jurugambar dihalau oleh sepasukan polis daripada merakam pergerakan ketiga-tiga tertuduh.

Kes pendakwaan berkenaan membabitkan tiga individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek dan Seremban Jaya berdepan tuduhan memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) November tahun lalu.

Sembilan lagi individu turut dikenakan pertuduhan sama di mahkamah sama di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Johor, secara serentak, hari ini bagaimanapun, tidak menghadapi sebarang kesulitan sama seperti di negeri ini.

Mengikut sumber polis, arahan dikeluarkan oleh pihak atasan itu hanya membenarkan peguam, keluarga dan pemimpin tertinggi masuk ke dalam kamar mahkamah.

“Kami hanya menerima arahan daripada pihak atasan yang petugas media tidak dibenarkan masuk ke dalam kamar mahkamah,” katanya ketika hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Raiz Mukhlis Azman Aziz ketika dihubungi mengesahkan perkara itu berkata, faktor keselamatan menjadi alasan utama petugas media tidak dibenarkan masuk ke kamar selain tidak mahu menimbulkan sebarang kekecohan ketika prosiding berlangsung.

“Kes ini menarik perhatian (umum), belum pernah lagi anggota kerajaan dituduh dan Mahkamah Ayer Keroh jadi tempat pertama mereka dituduh.

“Jadi, kita tak mahu nanti ada pihak ambil kesempatan dengan kehadiran wartawan dalam mahkamah. Lagipun, sudah penuh (kamar) dengan keluarga dan pemimpin kanan DAP sehingga 50 orang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memohon maaf berikutan arahan itu menyebabkan petugas media menghadapi kesulitan mendapatkan maklumat berkaitan kes pendakwaan untuk diterbitkan melalui agensi berita masing-masing, lebih awal daripada beberapa negeri lain yang turut mempunyai kes sama.

“Minta maaf la, kita fokus isu keselamatan. Tidak mahu keluarga dan penyokong beremosi dan ambil kesempatan dalam kamar untuk melakukan sesuatu di luar kawalan pihak polis,” katanya.

Sementara itu, jurucakap mahkamah berkata pihaknya tidak menerima sebarang makluman mengenai arahan berkenaan, namun tidak mempunyai halangan untuk membenarkan petugas media mengikuti prosiding dalam kamar.

“Prosiding pendakwaan itu dijalankan di mahkamah terbuka. Bagaimanapun, kes membabitkan kanak-kanak, atau saksi kanak-kanak, atau perbicaraan diisytihar sebagai tertutup, sesiapa saja tidak dibenarkan masuk,” katanya.

Bagaimanapun, petugas media hanya dibenarkan melepasi garisan kawalan keselamatan polis selepas prosiding pendakwaan selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 2:47 PM