SHAHROL Azral. FOTO arkib NSTP
Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar


“MENARIK bukan?” Itu jawapan spontan saksi kesembilan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung tindakan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang menyediakan minit mesyuarat bagi pihak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Shahrol merujuk minit mesyuarat bertarikh 16 Oktober 2009 dan Najib adalah Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat 1MDB.

SHAFEE: Siapa yang menyediakan minit ini?

SHAHROL: Ia disediakan Jho Low.

SHAFEE: Dari mula sampai akhir?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Jho Low memang tahu apa Perdana Menteri mahu katakan dalam minit?

SHAHROL: Ya, menarik bukan?

Terdahulu, menjawab soalan Muhammad Shafee, saksi itu mendakwa bahawa jika beliau tahu Jho Low; Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang dan Ketua Pelaburan Good Star Limited (Good Star), Seet Li Lin menipunya ketika itu, beliau akan terus meletakkan jawatan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada tindakan ketiga-tiga mereka yang didakwa memperdayakan beliau dengan dokumen palsu yang mengatakan Good Star adalah anak syarikat PetroSaudi International (PSI).

SHAFEE: Adakah anda mengenali Seet Li Lin yang menandatangani perjanjian palsu berhubung pemindahan wang AS$700 juta itu?

SHAHROL: Tidak kenal.

SHAFEE: Kini anda tahu mereka adalah penipu, adakah kamu akan menyiasat mereka jika kamu menjadi CEO 1MDB semula?

SHAHROL: Jika saya secara hipotesis boleh balik semula dan menjadi CEO 1MDB, saya mungkin akan meletakkan jawatan dengan serta-merta. Ketika itu, saya masih percaya 1MDB ialah saluran strategik untuk Najib dan saya mahu berkhidmat kepadanya dengan baik.

SHAFEE: Kamu dikelirukan oleh Jho Low, Casey dan Seet?

SHAHROL: Saya hanya boleh katakan (bahawa) mereka tandatangan dokumen tanpa kebenaran.

SHAFEE: Saya cadangkan dokumen perjanjian ini adalah palsu dan mereka secara salah tandatangannya?

SHAHROL: Ya, setuju.

SHAFEE: Setuju saya katakan bahawa Najib tidak tahu apa-apa berhubung perjanjian palsu ini?

SHAHROL: Saya tidak tahu apa yang Najib tahu.

SHAFEE: Ada kemungkinan Najib tidak tahu dan dikelirukan?

SHAHROL: Ada kemungkinan.

SHAFEE: Kenapa pemindahan wang AS$700 juta tidak dimaklumkan di dalam minit mesyuarat?

SHAHROL: Saya ada maklumkan secara lisan kepada Najib.

SHAFEE: Ini adalah perkara yang besar tetapi kamu tidak ada memaklumkan kepada Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat?

SHAHROL: Saya ada maklumkan kepada pengerusi, saya juga ada menyampaikan apa yang dimaklumkan oleh Ahli Lembaga Pengarah. Ketika itu, saya percaya Jho Low akan menyampaikannya kepada Perdana Menteri.

SHAFEE: Kenapa kamu tidak rekodkan perbincangan kamu dengan Najib di dalam minit mesyuarat?

SHAHROL: Jika saya buat, saya akan catat dalam minit (mesyuarat) tetapi ia disediakan oleh Jho Low.

SHAFEE: Siapa CEO? Jho Low?

SHAHROL: Tidak.

SHAFEE: Adakah dia adalah bayangan CEO?

SHAHROL: Seperti pihak pendakwaan katakan dia adalah ‘imej cermin’ Najib.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 6:15 PM