NAJIB ketika hadir di mahkamah, hari ini. FOTO Mahzir Mat Isa.
Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, diberitahu bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PetroSaudi Limited (PSI), Tarek Obaid menerima bayaran berjumlah AS$85 juta yang didakwa sebagai komisyen atas usaha sama dengan 1MDB.

Perkara itu dibangkitkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam prosiding bicara yang masuk hari ke-27, semalam.

Muhammad Shafee merujuk dokumen mengandungi maklumat itu iaitu penyata akaun bank RBS Coutts Bank dan resit bank JP Morgan yang mengandungi catatan wang masuk sebanyak AS$85 juta itu kepada saksi kesembilan, bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Berdasarkan resit itu, Tarek didakwa menerima AS$85 juta sebagai komisyen berhubung usaha sama antara PSI dengan 1MDB daripada syarikat Good Star Limited milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Shahrol memberi keterangan dalam kes membabitkan Najib yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.28 bilion.

Dalam keterangannya, Shahrol mendakwa tidak mengetahui berhubung bayaran komisyen itu kepada Tarek selain mengakui tidak pernah melihat dokumen yang menunjukkan mengenai perkara berkenaan.

SHAFEE: Kamu masih ingat wang berjumlah AS$700 juta yang masuk ke dalam akaun Good Star Limited? (syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low). Saya akan tunjukkan kamu resit bank JP Morgan yang mana wang dari Good Star masuk ke dalam satu akaun di JP Morgan ini. Boleh beritahu mahkamah, siapa pemilik akaun ini?

SHAHROL: Di sini, dinyatakan milik Tarek Obaid.

SHAFEE: Adakan kamu tahu atau sedar bahawa Tarek menerima wang ini?

SHAHROL: Tidak tahu.

SHAFEE: Ini menarik kan? Kini kamu tahu berhubung bayaran ini. Adakah kamu tahu apa komisyen boleh dibuat melalui perjanjian usaha sama? Adakah ini betul-betul komisyen atau sebenarnya komisyen yang tidak betul (bona fide comission)?

SHAHROL: Saya tidak ada maklumat yang cukup untuk menentukannya.

SHAFEE: Ada Tarek maklum berhubung komisyen ini?

SHAHROL: Tidak.

SHAFEE: Jadi kamu tidak tahu ada konflik kepentingan (dalam hal ini) kerana Tarek juga adalah Ahli Lembaga Pengarah dalam PSI dan menerima bayaran ini?

SHAHROL: Saya tidak tahu.

SHAFEE: (Merujuk kepada penyata bank) Dalam dokumen ini juga menyatakan bahawa sebanyak AS$33 juta daripada AS$85 juta itu dibayar kepada Pengarah PSI, Patrick Mahoney. Selain itu, terdapat juga bayaran kepada firma guaman White & Case LLP (firma guaman yang mewakili syarikat usaha sama 1MDB-PSI) sebanyak £157,000 oleh Tarek Obaid. Tidakkah ini sesuatu yang pelik?

SHAHROL: Ya, sepatutnya bayaran dibuat oleh PSI atau PetroSaudi Cayman dan bukan oleh individu (Tarek).

SHAFEE: Melihat kepada keadaan ini, kita boleh katakan ada kemungkinan Tarek membayar firma undang-undang ini kerana beliau mempunyai kepentingan peribadi?

SHAHROL: Ada kemungkinan.

SHAFEE: Boleh beritahu mahkamah apa terjadi kepada wang AS$700 juta sebelum ini?

SHAHROL: Ia dipindahkan kepada syarikat Good Star Limited. Tarek ada memaklumkan kepada 1MDB bahawa pihak mereka sudah menerima bayaran penuh AS$1 bilion (wang untuk usaha sama 1MDB-PSI) sebab itu kami tidak pernah syak bahawa wang itu pergi kepada Jho Low.

SHAFEE: Sebenarnya ia adalah penipuan kerana PSI tidak pernah menerima wang itu?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Bagaimana dengan wang AS$300 juta itu? Kamu adalah salah seorang penandatangan untuk akaun JP Morgan. Kamu tidak periksa dahulu berhubung perkara itu?

SHAHROL: Tidak. Ketika itu saya tidak mempunyai sebarang curiga dan fokus saya adalah memastikan usaha sama itu berjaya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 4:02 PM