Kenderaan yang disita selepas membawa barang kawalan untuk diseludup ke negara jiran. FOTO Ihsan KPDNHEP
Kenderaan yang disita selepas membawa barang kawalan untuk diseludup ke negara jiran. FOTO Ihsan KPDNHEP
Syaherah Mustafa


TAKTIK licik lelaki warga Thailand membawa barang kawalan untuk diseludup ke negara itu pada malam ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan.

Pengarah PKPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, 1,819 kilogram (kg) minyak masak dan 910 kg tepung gandum bernilai RM5,776 dirampas di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang semalam.

Katanya, dalam serbuan 9.45 malam itu, pihaknya turut menyita kereta Toyota Vico dengan nombor pendaftaran Thailand selepas mengekori kenderaan itu berdasarkan maklumat awam.

“Anggota KPDNHEP dengan kerjasama Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubur menahan suspek serta merampas barangan untuk siasatan lanjut.

“Penyeludup menggunakan modus operandi dengan membuat belian barang keperluan di sekitar pekan ini dengan jumlah banyak dan menyorokkan barang kawalan bersama barang keperluan lain di tengah muatan.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM3 juta bagi setiap barang kesalahan yang dilakukan (pertubuhan perbadanan),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara barang kawalan yang cuba diseludup ke Thailand.  FOTO Ihsan KPDNHEP
Antara barang kawalan yang cuba diseludup ke Thailand. FOTO Ihsan KPDNHEP

Adnan berkata, jika bukan membabitkan pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi setiap kesalahan atau penjara tidak melebihi tempoh selama tiga tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 6:23 PM