Kira-kira 1,500 kakitangan Utusan Melayu hadir pada sesi town hall hari ini. FOTO Khairul Helmy Mohd Din
Yusmizal Dolah Alingy


TIADA kata putus atau pengumuman baru pada sesi town hall di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Bhd hari ini.

Ia terus menimbulkan tanda tanya kepada kakitangan syarikat akhbar berpengaruh itu kerana menerusi sesi penerangan, mereka berkemungkinan tidak menerima pampasan.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) cawangan Utusan Melayu, Taufek Razak berkata, pihaknya kesal kerana sesi hari ini adalah penerangan pelikuidasi mengenai akta syarikat dan bukannya mengenai nasib mereka.

“Pelikuidasi ini iaitu UHY Advisory (KL) Sdn Bhd bersifat sementara, tidak boleh beri kata putus.

“Sebaliknya kami perlu tunggu 6 November ini untuk memilih pelikuidasi baru atau kekalkan interim ini.

“Apa yang kami bimbang, kami dimaklumkan nilai hutang adalah jauh lebih tinggi dari aset, jadi mungkin tidak ada pampasan,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur hari ini.


Kakitangan Utusan Melayu mengikuti sesi town hall di ibu pejabat Utusan Melayu hari ini. FOTO Khairul Helmy Mohd Din

Taufek berkata, kakitangan dimaklumkan hutang syarikat RM400 juta manakala aset bernilai RM350 juta.

“Kalau ini benar, maknanya tak ada pampasan. Tak ada janji bila nak bayar. Masih lagi di awang-awangan,” katanya.

Kira-kira 1,500 kakitangan termasuk yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela sebelum ini hadir pada sesi itu yang berlangsung tiga jam.

Menurutnya, pihaknya juga akan melantik peguam untuk menjadi wakil NUJ bagi memantau proses pencairan aset berkenaan.

“Rata-rata kami mengharapkan ada pengumuman mengenai nasib kami.

“Ramai mengharapkan diambil bekerja semula,” katanya.

Berita berkaitan

Tindakan akan diambil terhadap Utusan Melayu

'Kami masih keliru' [METROTV]

Kumpulan Utusan Melayu berkubur hari ini?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 6:59 PM