Lambakan kediaman dan hartanah yang tidak terjual dianggarkan mencecah hampir RM100 bilion. FOTO Arkib NSTP
Fairul Asmaini Mohd Pilus


LAMBAKAN kediaman dan hartanah yang tidak terjual di negara ini dianggarkan mencecah hampir RM100 bilion dan perlu diatasi segera.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana jika ia terus berlarutan, Malaysia akan kelihatan seperti negara usang.

Justeru Zuraida berkata, kerajaan melakukan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah berkenaan termasuk melalui Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

“Hasilnya 21,000 unit kediaman bernilai RM13.4 bilion berjaya dijual dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Saya juga rasa seram bila mendengar hampir RM100 bilion nilai kediaman yang tidak terjual, bayangkan jika kediaman itu tidak ada penghuni, Malaysia akan kelihatan seperti negara usang.

“Sebab itu kita lakukan kempen ini (HOC) , ia adalah usaha supaya rumah berharga tinggi dapat dijual dan membantu menghabiskan stok unit tergantung itu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) mengenai sejauh mana sasaran yang diletakkan kerajaan dalam pemilikan rumah mewah oleh warga asing di negara ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, kerajaan juga tidak meletakkan sasaran khusus bagi pemilikan rumah mewah oleh warga asing dan lambakan rumah mewah bernilai RM1 juta dan ke atas menjejaskan pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan permasalahan sosial di kawasan rumah kosong yang tidak diduduki.

Zuraida berkata, harga rumah untuk warga asing juga sebenarnya tertakluk kepada kerajaan negeri masing-masing.

“Selangor contohnya harga rumah untuk warga asing adalah RM2 juta manakala Terengganu, Johor, Pahang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Perlis, Sabah, Kelantan, Perak, Sarawak dan Melaka adalah RM1 juta.

“Di Pulau Pinang pula, harga rumah untuk warga asing di bahagian pulau RM2 juta manakala di kawasan Seberang Prai, RM1 juta.

“Dari Januari hingga Jun lalu, hanya 0.4 peratus iaitu 398 unit rumah mewah saja yang terjual kepada warga asing dan pemilikan untuk rakyat Malaysia masih lagi pada kadar 99 peratus,” katanya.

Menurut Zuraida, kerajaan juga sedang membangunkan analisis data raya utama bagi memberikan unjuran lebih tepat dan bersepadu mengenai statistik harga rumah mewah di seluruh negara.

Beliau berkata, ia akan dibangunkan bersama oleh Jabatan Perumahan Negara membabitkan kerajaan negeri.

“Ketika ini, polisi kerajaan negeri berbeza, ada yang buat 30 peratus daripada komersial perlu membina projek kos rendah, ada negeri lainnya hingga 50 peratus tetapi tiada perkiraan (statistik) menyeluruh daripada segi harga penjualan harga rumah mewah dan rendah.

“Jadi kementerian berharap dengan unjuran yang lebih tepat pada masa akan datang dapat menangani masalah lambakan rumah mewah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 9:25 PM