Skip this ad x
TIMBALAN Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Suraya Roslan


WISMA Putra sedang mengumpul maklumat berhubung kes hak penjagaan lima anak pasangan suami isteri rakyat Malaysia di Norway.

Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya ketika dihubungi berkata, ini kerana pihaknya belum mendapat maklumat lanjut mengenai perkara itu.

“Malaysia tidak mempunyai pejabat kedutaan di negara terbabit.

“Bagaimanapun, kita sudah menghubungi konsulat dan pejabat kedutaan yang berdekatan untuk membantu mendapatkan maklumat lengkap berhubung kes berkenaan.

“Ini bagi mengesahkan sama ada kejadian itu benar-benar berlaku dan jika ia benar, maklumat lengkap perlu diperoleh sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

Sementara itu, Kedutaan Malaysia di Stockholm, Sweden mengesahkan pasangan Malaysia, Hairi Muhamad, 42, dan isteri, Norliha Khamis, 42, mempunyai kes mahkamah di Norway berhubung penjagaan lima anak mereka.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, pada pertengahan Jun lalu, pihak berkuasa Norway mengambil lima anak daripada keluarga berkenaan untuk dijaga oleh Perkhidmatan Kebajikan Kanak-Kanak Norway.

“Kes ini lebih kepada aspek kebajikan kanak-kanak dan ditangani mengikut undang-undang Norway.

“Kedutaan Malaysia di Stockholm berhubung dengan pasangan Malaysia berkenaan dan menghulurkan bantuan menerusi konsular mengikut Konvensyen Vienna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 6:00 AM