HAIRI dan Norliha bersama anak mereka.
Izlaily Nurul Ain Hussein


“KAMI bersyukur kerajaan membantu Along dan Kak Long. Kami sekeluarga berharap Along dan Kak Long berjaya mendapat semula hak penjagaan anak-anak mereka," kata Hasrol Muhamad, 33.

Adik kepada Hairi Muhamad, 42, itu berkata, sekiranya abang dan kakak iparnya, Norliha Khamis, 42, tidak berjaya dalam kes itu, mereka sekeluarga berharap kerajaan atau mana-mana pihak dapat membantu supaya semua anak pasangan itu dibawa pulang ke Malaysia.

“Kami sekeluarga akan jaga anak mereka. Kami hormat undang-undang negara lain tetapi, biarlah anak-anak Along dibawa pulang ke Malaysia dan tidak diletak di bawah jagaan keluarga bukan Islam di sana.

"Bukan saja Along dan Kak Long, kami semua di sini risau kerana di sana tidak ramai orang Islam, kami bimbang soal pemakanan anak-anak itu, apatah lagi soal ibadat mereka.

“Along beritahu anak-anaknya sebelum ini boleh berbahasa Melayu dengan baik, namun kini lebih banyak berkomunikasi dalam bahasa Norway berbanding bahasa Melayu," katanya yang ditemui di Pasir Gudang.

Hairi yang bertugas sebagai pakar kimpalan manakala Norliha seorang suri rumah menetap di Stord, Norway, sejak lebih 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, sejak Mei lalu, Hairi dan Norliha hilang hak penjagaan lima anak mereka berusia antara empat hingga 16 tahun selepas berdepan siasatan pihak berkuasa akibat disyaki melakukan kekerasan atau mendera.

Hasrol memuat naik kisah abangnya itu di Facebook (FB) Ahad lalu, bertujuan mendapatkan bantuan pihak berkuasa dalam menyelesaikan masalah dihadapi pasangan berkenaan.

Menurutnya, sejak kisah itu tular, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Luar Negeri memandang serius perkara berkenaan.

“Along beritahu, Kedutaan Malaysia juga sudah menghubunginya untuk memberi bantuan guaman bagi menggantikan peguam sedia ada dan mencari jalan terbaik untuk mengeluarkan anak-anak dari jagaan keluarga bukan Islam," katanya.

Ditanya lanjut mengenai kejadian itu, Hasrol berkata, pada awal Ramadan lalu, seorang daripada anak Hairi yang mungkin letih kerana berpuasa ditegur gurunya.

"Seorang anak Along kelihatan muram di sekolah menarik perhatian gurunya. Apabila ditanya guru punca dia berkelakuan sedemikian, dia tidak jawab, jadi gurunya minta dia meluahkan perasaannya dalam kertas.

"Luahan hatinya itu yang menggambarkan dia berasa tertekan dengan kehidupan di rumah apabila dipaksa bersolat dan mengaji al-Quran, selain dihadkan daripada menggunakan media sosial.

"Selepas itulah siasatan bermula dan seterusnya semua anak Along diambil dari jagaan mereka," katanya.

Hasrol berkata, ibu bapa mereka, Muhamad Ero, 66, dan Hasnah Sulong, 61, yang tinggal di Chaah, Segamat tidak putus berdoa dan solat hajat mendoakan kemenangan berpihak kepada Hairi dan Norliha.

"Mereka serah pada saya dan seorang kakak untuk membantu mencari penyelesaian terbaik dalam membantu Along dan Kak Long," katanya.

Berita berkaitan

Pastikan anak Hairi, Norliha dijaga keluarga Islam

Air mata di Norway

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 3:29 PM