LAPORAN Harian Metro.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus (UAI) selesai menjalani pembedahan tangan kiri kira-kira 10 malam ini selepas terbabit dalam kemalangan ketika menunggang basikal di Kuala Terengganu semalam.

Difahamkan, pembedahan itu diketuai doktor pakar tulang di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bermula 4 petang.

Pembantu khasnya, Wan Safari Wan Ahmad berkata, UAI sepatutnya menjalani pembedahan itu pada 12 tengah hari tetapi terpaksa ditangguhkan disebabkan masalah teknikal.

"Bagaimanapun, sebaik sahaja masalah itu selesai, UAI terus dibawa ke dewan pembedahan pada 4 petang.

"Pembedahan itu mengambil masa selama enam jam dan proses pembedahan berjalan dengan lancar dan selamat," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dia bersyukur kerana proses pembedahan berjalan lancar biarpun memakan masa yang agak panjang daripada tempoh jangkaan.

"Alhamdulillah, UAI selamat menjalani pembedahan itu tetapi beliau tidak mampu bercakap seperti biasa kerana kesan kecederaan di bibirnya.

"Difahamkan, beliau menerima lebih lapan jahitan pada bibirnya akibat kemalangan itu dan diharap ia pulih dalam tempoh terdekat," katanya.

Wan Safari juga berkata, pihaknya terpaksa merahsiakan wad UAI berikutan terlalu ramai yang ingin melawat beliau selepas kemalangan itu.

"Dua sukarelawan juga ditempatkan di HSNZ bagi memastikan privasi UAI tidak terganggu sepanjang dirawat di HSNZ.

"Kami tidak boleh menjangka dan menghalang kehadiran pelawat di HSNZ, cuma untuk langkah berjaga-jaga, perlu menempatkan petugas itu," katanya.

Menurutnya, UAI dijangka terus berada di HSNZ sehingga keadaan semakin pulih sebelum dibenarkan pulang.

"Kami harapkan doa yang baik-baik daripada semua penggemar dan pengikut ceramah UAI serta orang ramai supaya beliau cepat sembuh," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan UAI mengalami patah tangan kiri dan hidung selepas terjatuh basikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Pusara pada 6.30 petang selepas menyertai kayuhan santai di sekitar Kuala Terengganu.

Berita berkaitan

Doakan kesembuhan UAI

UAI patah tangan, hidung

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 10:45 PM