Skip this ad x
GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

JURURAWAT kerugian RM8,920 selepas niatnya mahu meminjam wang ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Wanita berusia 32 tahun itu mahu meminjam RM10,000 namun wang pinjaman itu tidak diperoleh sebaliknya dia pula menanggung kerugian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada 24 Oktober lalu, mangsa melihat iklan pinjaman wang segera di laman sosial Facebook dan bertindak menghubungi nombor tertera.

“Mangsa memaklumkan kepada suspek dia mahu membuat pinjaman RM10,000 dan suspek meminta mangsa memberikan salinan kad pengenalan, penyata akaun bank dan juga bil elektrik.

“Suspek meminta mangsa membayar RM420 kononnya untuk kos setem sebelum mangsa diminta membuat beberapa lagi pembayaran yang didakwa untuk pelbagai proses kelulusan pinjaman itu,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa melakukan enam transaksi ke dalam akaun yang diberikan suspek menjadikan jumlah keseluruhannya RM8,500.

Katanya, mangsa kemudiannya merasakan diri tertipu kerana masih belum menerima wang pinjaman itu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.

Sementara itu dalam kes berasingan, guru kerugian RM2,000 selepas ditipu dalam urusan pembelian kereta terpakai.

Mangsa yang berusia 40 tahun tertarik dengan iklan penjualan Proton Arena di laman jual beli pada 3 November lalu.

“Mangsa berurusan dengan suspek lelaki dan bersetuju membeli kereta itu pada harga RM6,800.

“Suspek meminta mangsa membayar wang pendahuluan RM2,000 sebelum memberi alamat premis di Batu Caves, Selangor dan meminta mangsa mengambil kereta berkenaan serta menjelaskan baki harga kereta itu,” katanya.

Bagaimanapun apabila mangsa pergi ke alamat yang diberikan itu semalam, mangsa mendapati alamat itu tidak wujud.

Mohd Wazir berkata, mangsa cuba menghubungi suspek namun gagal menyebabkan mangsa tidak puas hati.

“Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Gambang pada hari sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 5:08 PM