FOTO hiasan
Sarah Zulkifli


TERTUDUH kedua kes kematian membabitkan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain menafikan ada menekap kemaluan mangsa menggunakan seterika wap.

Muhammad Azamuddin Mad Sofi, 23, berkata dia sebaliknya hanya melalukan sahaja seterika itu di bahu dan peha Zulfarhan.

Ketika dicadangkan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim sama ada kecederaan pada bahu, peha dan kemaluan Zulfarhan dilakukan rakannya yang lain, Muhammad Zuhairi berkata, ‘Saya tak tahu’.

Terdahulu, Julia menunjukkan gambar bedah siasat Zulfarhan yang juga eksibit mahkamah kepada Muhammad Azammudin.

JULIA: Apa yang terdapat pada peha Zulfarhan?

MUHAMMAD AZAMMUDIN: Kesan luka

JULIA: Pada kemaluan mangsa ada nampak kesan cedera?

MUHAMMAD AZAMMUDIN: Ada

JULIA: Saya cadangkan ketika kejadian, mangsa ditekap dengan seterika wap dan kamulah yang melakukannya?

MUHAMMAD AZAMMUDIN: Saya tak bersetuju

Pada prosiding sebelum ini, Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad, 37, memberitahu hasil bedah siasat mendapati terdapat 90 kesan luka lecur darjah 1 hingga darjah 3 di hampir keseluruhan badan termasuk kedua-dua belah punggung dan zakar Zulfarhan Osman.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap tubuh Zulfarhan mendapati mangsa tidak mempunyai apa-apa risiko penyakit sama ada diabetes atau asma.

Dalam prosiding itu, Mahkamah Tinggi ditunjukkan dengan demonstrasi penggunaan seterika wap digunakan tertuduh kedua terhadap Zulfarhan.

Pihak pendakwaan menunjukkan bahan bukti kes itu dan menunjukkan cara penggunaan serta menerangkan mengenai tahap kepanasan seterika dengan suhu rendah, pertengahan dan paling tinggi.

Julia dilihat meletakkan seterika pada tahap paling tinggi dan wap kemudian dihalakan pada tapak tangan serta lengan seorang anggota polis mahkamah dan polis terbabit berkata ‘Ya, ia panas’.

Hakim Datuk Azman Abdullah kemudian turut mencuba seterika itu dan dihalakan pada tapak tangannya pula.

Menceritakan semula kejadian, tertuduh mengakui Zulfarhan tidak memakai baju dan seluar dan hanya memakai ‘boxer’ ketika kejadian di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM pada 22 Mei 2017.

JULIA: Saya cadangkan Zulfarhan tidak memakai baju hanya memakai ‘boxer’, walaupun seterika wap tidak menyentuh Zulfarhan tetapi wap itu terkena pada Zulfarhan dan akan merasa sakit serta panas.

MUHAMMAD AZAMMUDIN: Setuju

JULIA: Saya cadangkan apabila guna seterika pada mangsa, kamu tahu ia akan terkena secara langsung pada tubuh badan?

MUHAMMAD AZAMMUDIN: Tidak setuju

Muhammad Azammudin juga tidak bersetuju dengan cadangan Julia bahawa kerika kejadian dia dan tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, 23, mengikat tangan dan kaki Zulfarhan menggunakan tali pinggang taekwando.

Selain itu, tertuduh juga tidak bersetuju dengan cadangan Julia bahawa hubungan persahabatan tertuduh dengan Zulfarhan sudah putus apabila dia membiarkan rakannya itu dipukul dengan mengenakan seterika wap selain gagal menghentikan perbuatan itu.

Enam penuntut UPNM Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif, Mohamad Shobirin dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka yang semuanya berusia 23 tahun dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mereka bersama-sama 12 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer.

Perbicaraan bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 7:47 PM