Bomba memadamkan kebakaran van yang terbabas menyebabkan dua lelaki rentung. FOTO Ihsan JBPM


DUA lelaki rentung selepas kenderaan dinaiki terbabas dalam longkang dan rentung di Kilometer 262.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Seremban/Labu hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, dalam kejadian 6.30 petang itu, van berkenaan terbabas ke kiri lebuh raya.

“Kemalangan berlaku ketika van itu dalam perjalanan dari selatan menuju ke utara.

“Sejurus tiba di lokasi, van dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri sebelum terjunam ke longkang besar di kiri bahu lebuh raya sehingga menyebabkan van serta kedua-dua mangsa terbakar dan maut di lokasi,” katanya hari ini.

Keadaan van yang terbabas sebelum terbakar di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Seremban/Labu. FOTO Ihsan JBPM

Beliau berkata, identiti kedua-dua mangsa masih belum dikenalpasti.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 9:21 PM