WENDY Subramaniam. FOTO Arkib NSTP
Mohd Sabran Md Sani


“MEREKA puji saya cantik,” kata calon GERAKAN, Wendy Subramaniam, 38, berhubung tuah wajah kacukannya ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, di Pontian.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia tidak dapat lari dengan pujian itu dan ia diajukan secara spontan oleh pengundi.

“Memang banyak tempat macam tu (puji) dan saya hanya mampu membalas dengan ucapan terima kasih,” katanya ketika ditemui selepas senamrobik di Padang Awam Pontian di Pontian, pagi ini.

Katanya, dia mungkin bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga campuran kerana ibunya berketurunan Cina dan bapanya, India.

“Jadi inilah hasilnya (anak kacukan), tetapi bagi saya rakyat Malaysia sememangnya cantik dan jika bersatu, sudah pasti kecantikan itu akan lebih terserlah.

“Pada saya, kita jangan bercakap mengenai bangsa, tetapi bercakap mengenai Malaysia dan sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Ditanya mengenai cara menguruskan diri, selain mengekalkan kecantikan serta kesihatan, Wendy berkata, setiap hari akan minum air masak dalam kuantiti banyak, rehat mencukupi dan bersenam.

Bahkan katanya, tidak makan terlalu banyak biarpun sedap.

“Saya makan semua barang (makanan), tetapi tidak makan banyak.

“Saya makan sekadar cukup. Biarpun makanan itu sedap tapi jangan makan terlalu banyak,” katanya.

Wajah cantik calon GERAKAN pada PRK Tanjung Piai itu mendapat perhatian lensa, bahkan dengan status anak kacukan menjadikan Wendy seperti model meskipun sudah mempunyai dua anak.

Katanya, dia bertuah kerana mempunyai keluarga yang sentiasa memberi sokongan dan

menjadi tulang belakang pada PRK Tanjung Piai, selain menjaga dua anaknya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 11:32 AM