Laporan portal Harian Metro.
Khairul Najib Asarulah Khan


JALAN persempadanan yang kurang diberi tumpuan dipercayai menjadi faktor Jalan Gombak Lama menuju Bentong, Pahang di Gombak menjadi tumpuan individu atau syarikat untuk membuang sampah secara haram.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia Muhammad Hilman Idham berkata, terdapat 10 kawasan di jalan sepanjang 26 Kilometer itu dikesan dijadikan lokasi untuk pembuangan sampah secara haram.

Menurutnya, kegiatan itu dipercayai sudah lama berlaku terutama semasa waktu malam untuk mengelak dikesan pihak berkuasa selain mereka memilih laluan sempadan.

“Hasil maklumat Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini, pihak berkenaan sudah memasang batu konkrit di ‘port’ yang dijadikan pembuangan sampah itu.

“Namun mereka menukar ke tempat lain di laluan sama yang mana menyebabkan kegiatan itu terus berlaku dan gagal dikekang sepenuhnya,” katanya kepada media.

Beliau ditemui ketika melakukan lawatan ke lokasi pembuangan sampah secara haram yang tular di media sosial.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan (JPSPK) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Affendei Samingan, Jurutera JKR Gombak Ir Sompang Pichan dan Pegawai Hutan Daerah Selangor Tengah Khairul Nizam Mohamed.

Mengulas lanjut, Muhammad Hilman berkata, keseluruhan sampah itu dianggarkan lebih lima tan.

“Ia mengambil masa seminggu untuk dibersihkan dengan operasi bersepadu bersama JKR, MPS Jabatan Hutan dan penduduk berhampiran.

“Selepas itu, batu konkrit akan dipasang di lokasi ini selain penguatkuasaan akan ditingkatkan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang kembali.

“Saya juga akan berbincang dengan JKR untuk memasang lampu jalan di laluan ini kerana ia secara langsung dapat membantu menangani perbuatan tidak bertanggungjawab berkenaan,” katanya.

Portal Harian Metro semalam melaporkan terdapat longgokan sampah pukal dan domestik serta kotak penghantaran makanan milik sebuah syarikat dibuang di lokasi itu.

Berita berkaitan

Awas! Jangan buang sampah lagi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 8:33 PM