LAPORAN portal berita Harian Metro
Norasikin Daineh


MANGSA banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon, Membakut, meningkat 46 orang.

Operasi memindahkan mangsa membabitkan 15 keluarga dilakukan berikutan paras air Sungai Membakut meningkat ke paras bahaya, petang ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort, Leftenan Mayroof Koibil berkata, mangsa dipindahkan membabitkan penduduk dari Kampung Baitam, Jambatan Baru dan Kampung Baru.

“Seramai 46 penduduk dipindahkan ke PPS Selagon sejak tengah hari berikutan air mulai naik di persekitaran rumah penduduk.

“Selain itu, sebanyak 11 kampung dikenal pasti terjejas iaitu Kampung Bambangan, Sinoko, Sindok, Lumantak, Baitam Laut dan Kampung Baitam Ulu.

“Turut terjejas Kampung Jambatan Baru, Kayai, Papas, Baitam dan Kampung Baru,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, APM akan terus memantau dan memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir.

Terdahulu, seramai 19 penduduk dipindahkan ke PPS berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 10:18 PM