Skip this ad x
Hannah bersama Presiden NACSCOM Datuk Dr Soon Ting Kueh (kanan) di majlis kutipan dana RWEN di Kuala Lumpur malam tadi. Foto Intan Nur Elliana Zakaria
Mohd Hilmie Hussin


KEMPEN ‘Back To Work’ yang dianjurkan kerajaan berjaya membantu seramai 34,638 warga emas kembali bekerja.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata, bilangan terbabit dicapai sepanjang Januari hingga September lalu selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan skim caruman baru majikan terhadap setiap pekerja warga emas.

“Skim baru diperkenalkan iaitu caruman enam peratus majikan diturunkan kepada empat peratus akhirnya menggalakkan mereka menggaji warga emas berkerja.

“Inilah tujuan kerajaan sekarang yang mahu setiap lapisan masyarakat termasuk warga emas menyumbang kepada ekonomi negara.

“Untuk tahun ini saja, warga emas wanita kembali bekerja meningkat sebanyak 21 peratus, manakala lelaki pula naik 11 peratus,” katanya sambil mengesahkan warga emas berusia 60 hingga 64 tahun paling ramai kembali bekerja.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan kutipan dana Tabung Rumah Warga Emas NACSCOM (RWEN) di Pusat Konvensyen HGH, Sentul di Kuala Lumpur malam tadi.

Hannah berkata, kempen kembali bekerja yang dilaksanakan itu antara sebahagian daripada inisiatif kerajaan menjaga keperluan warga emas selepas poket mereka kering kerana wang persaraan KWSP diserahkan kepada anak-anak.

Menurutnya, kerajaan bercadang mewujudkan undang-undang khas melindungi warga emas selepas satu kajian mendapati hak kewangan warga emas dicabul ahli keluarga sendiri.

“Kajian yang dijalankan mendapati wang simpanan termasuk KWSP milik warga emas dihabiskan ahli keluarga menyebabkan golongan itu menderita dalam sepi.

“Kajian sedang dijalankan dan dijangka tamat penghujung tahun hadapan dan berharap pada 2021, draf undang-undang berkaitan warga emas ini dapat dibentang ke Parlimen.

“Draf ini juga akan meliputi model penjagaan warga emas baik dari segi jangka pendek dan panjang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan meletakkan sasaran mempunyai 222 rumah warga emas iaitu satu di setiap kawasan Parlimen berbanding ketika ini hanya 88 rumah.

Sementara itu, sebanyak RM200,000 dapat dikutip di majlis terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 11:22 PM