MOHAMMAD Aimin. FOTO Arkib NSTP
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


MAJLIS Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengarahkan sebuah pusat tahfiz di Kampung Kuala Kaung, Lanchang dekat Temerloh diarahkan tutup serta-merta bermula hari ini.

Arahan itu dikeluarkan berikutan salah seorang daripada pelajar di situ meninggal dunia, Khamis lalu, dengan beberapa kesan lebam dipercayai akibat dipukul.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahib Wan Hassan berkata, semakan pihaknya mendapati pusat tahfiz berkenaan tidak tidak berdaftar dengan MUIP dan beroperasi tanpa kebenaran.

Katanya, mengikut rekod, pengusaha pusat tahfiz berkenaan tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan untuk mendaftarkan pusat itu sebelum ia mula beroperasi awal tahun ini.

“Saya sudah menandatangani surat perintah tutup serta-merta selepas mendapati banyak perkara berkaitan pusat tahfiz berkenaan gagal diselesaikan.

“Untuk membuka pusat tahfiz, pengusaha perlu mendapat kebenaran dan saya dapati pengusaha pusat tahfiz berkenaan memahami perkara itu namun tidak mengambil langkah sewajarnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, mangsa, Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang.

Hasil pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan menemui beberapa kesan lebam di badannya dipercayai akibat dipukul.

Wan Abdul Wahid berkata, pusat tahfiz berkenaan hanya mempunyai seorang tenaga pengajar, namun pihaknya meragui sama ada dia mempunyai kelayakan untuk mengajar atau sebaliknya.

“Kita tidak tahu sama ada tenaga pengajar berkenaan mempunyai sijil kebolehan tahfiz atau tidak, dan jika dia adalah guru hafaz al-Quran sekali pun, tidak semestinya dia layak menjadi tenaga pengajar.

“MUIP amat bertegas dalam isu pusat tahfiz kerana banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum kelulusan untuk menjalankan pusat itu diberikan,” katanya.

Beliau berkata, selain faktor keselamatan premis, pihaknya turut mengambil kira sukatan pelajaran, silibus pengajian dan sebagainya.

Katanya, banyak kejadian yang tidak diingini berlaku membabitkan pusat tahfiz seperti kebakaran dan pihaknya bertegas dalam isu berkenaan serta tidak mahu mengambil risiko.

Ditanya mengenai program pemutihan pusat tahfiz yang dilakukan MUIP, Wan Abdul Wahid berkata, pihaknya memberi tempoh sehingga 31 Disember ini untuk pusat tahfiz yang beroperasi tanpa kebenaran untuk mendaftar.

“Selepas tempoh itu, mana-mana pusat tahfiz yang tidak berdaftar akan diarahkan tutup,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata, pusat tahfiz dan sekolah agama adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam negeri, menyebabkan pihaknya tidak boleh mengambil sebarang tindakan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

“Kita tidak ada kuasa (soal sekolah agama dan pusat tahfiz), begitu juga dengan sekolah swasta persendirian... namun kalau ada kejadian yang tidak diingini berlaku di sekolah terbabit, orang akan mencari kita.

“Apabila isu ini berlaku, Jabatan Pendidikan yang dipersalahkan, sedangkan bukan bidang kuasa kita,” katanya.

Bagaimanapun, pihaknya memandang serius isu berkaitan pusat tahfiz yang tidak mempunyai kelulusan.

Berita berkaitan

Pelajar tahfiz maut dipukul [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 9:36 AM