ABDUL Aziz (tengah) bergambar bersama anggota keselamatan mewakili Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa

AGENSI Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyediakan 20,000 kit makanan bernilai lebih RM1.4 juta bagi menghadapi musim banjir, tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Komuniti dan Sosial NADMA, Abdul Aziz Mohamad Zabidin, berkata jumlah itu membabitkan persediaan fasa pertama dan ia akan ditambah mengikut keperluan semasa.

Katanya, penyediaan kit makanan adalah hasil kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang bertanggungjawab menyediakan bahan bantuan makanan termasuk produk daripada pihaknya sendiri.

“Kit bantuan ini diisi dengan 17 jenis barangan membabitkan makanan yang tidak mudah rosak dan senang disediakan bersesuaian dengan keadaan ketika banjir seperti sardin, roti, biskut dan produk Agromas daripada FAMA.

“Kita menyediakan kit makanan ini untuk seluruh negara bagi menghadapi sebarang bencana banjir khususnya di negeri yang sering menghadapi banjir seperti Kelantan.

“Semua bantuan ini akan ditempatkan di depoh terpilih yang dekat dengan pusat pemindahan mangsa banjir,” katanya ketika ditemui selepas Program Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2, di sini, semalam.

Program itu adalah kerjasama dengan Islamic Relief Malaysia dan gabungan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif untuk memberi bantuan ketika banjir.

Abdul Aziz berkata, setakat ini sebanyak 150 NGO berdaftar dengan NADMA.

“Di dalam pengurusan NADMA kita mewujudkan sistem kluster yang mana setiap NGO ini akan dikenal pasti kekuatan mereka sebelum ditempatkan di lokasi bersesuaian.

“Selaras dengan tema Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2019 iaitu ‘Kesiapsiagaan Bencana Tanggungjawab Bersama, NADMA menyeru seluruh anggota masyarakat untuk bersama-sama menghadapi sebarang bencana yang berlaku,” katanya.

Tamat..//

From: Muhamaad

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 11:24 AM