Skip this ad x
KARMAINE Sardini bertemu media selepas menghadiri majlis Sambutan Maulidur Rasul di Pekan Nenas, Pontian. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


“TIADA apalah (sebut perkataan arwah), hanya tersasul. Itu biasa dan saya tidak ambil hati pun,” kata calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66.

Karmaine yang juga Ketua Bahagian BERSATU Tanjung Piai berkata, menjadi kebiasaan bagi mana-mana pihak tersasul ketika memberi ucapan atau berceramah.

Malah, beliau tidak mahu ia menjadi isu kepada mana-mana pihak atas perkataan tidak disengajakan itu.

“Biasalah apabila bercakap atau berucap, kadang kala tersasul dan tersilap kata.

“Tak perlu mana-mana pihak jadikan ia isu pun,” katanya selepas menghadiri majlis sambitan Maulidur Rasul di rumah bekas imam Masjid Pekan Nanas, Ahmad Berlian Abd Hanan, 94, di Pekan Nanas, Pontian, hari ini.

Hadir sama, Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Dalam Negeri.

Karmaine berkata, meskipun tidak mendengar sendiri kerana belum lagi ke pusat daerah mengundi (PDM) Kampung Sawah Pekan Nanas, namun dia yakin kejadian itu tidak disengajakan.

Terdahulu, tular video berdurasi kira-kira 15 saat dikongsi netizen membabitkan Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq dalam program ceramah secara tidak sengaja menyebut perkataan arwah kepada Karmaine di PDM Kampung Sawah, Pekan Nanas, malam tadi.

Dengan memegang mikrofon dan berlatarbelakangkan poster calon PH serta Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad, Syed Saqid menyebut perkataan berkenaan.

“Dia imam di sana. Boleh tanya keluarga saya. Saya rasa orang Taman Perling memang mengenali dia (Karmaine),” katanya.

Perkataan itu bagaimanapun menjadi isu memandangkan itu disebut secara spontan dan tidak sengaja, namun menjadi bahan kritikan warganet.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 12:10 PM