Mohd Izham Unnip Abdullah


KEADAAN banjir di daerah Membakut semakin pulih dengan air Sungai Membakut berada di bawah paras amaran dengan bacaan 5.28 meter setakat 8 pagi tadi, hari ini.

Paras air sungai berkenaan mencatat bacaan tertinggi 7.18 meter, 6 petang kelmarin, berbanding paras bahaya 6.8 meter, menyebabkan 12 kampung dan 10 laluan dinaiki air antara 0.5 meter hingga 1.5 meter.

Seramai 103 mangsa membabitkan 32 keluarga dipindahkan ke Dewan Pusat Pemindahan Mangsa Bencana di Kampung Selagon, sehingga malam tadi.

Semua mangsa dilaporkan masih berada di pusat pemindahan berkenaan, setakat pagi ini.

Berdasarkan kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Daerah Beaufort, lapan kampung iaitu Bambangan, Sinoko, Sindok, Lumantak, Baitam Laut, Jambatan Baru, Baitam dan Baitam Baru, sudah pulih pagi ini.

Hanya tiga kampung iaitu Kayai, Papas dan Kampung Baru dilaporkan belum pulih setakat 8 pagi ini.

Setakat ini, hanya satu laluan dilaporkan tidak boleh dilalui iaitu Jalan Kampung Baru.

Laluan lain iaitu Jalan Kampung Bambangan, Sinoko, Poring, Baitam Laut, Baitam Ulu, Baitam dan Jalan Kampung Jambatan Baru dilaporkan sudah pulih sepenuhnya dan boleh dilalui semua jenis kenderaan.

Selebihnya, iaitu Jalan Kampung Kayai dan Papas hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Kira-kira 70 anggota, pegawai dan sukarelawan membabitkan pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis, Pejabat Daerah Beaufort, Majlis Daerah Beaufort (MDB), Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Wirawati Parti Warisan Sabah (WARISAN) terbabit dalam operasi membantu mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 10:54 AM
ANTARA kawasan yang dilanda banjir di sekitar Membakut. FOTO ihsan APM