GAMBAR hiasan
Abdul Rahemang Taiming


BURUH ladang ditahan polis bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang wanita warga Indonesia di ladang sawit Imbak Luasong, dekat Tawau, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, suspek, warga Indonesia berumur 40 tahun yang juga buruh di ladang berkenaan.

“Lelaki itu ditahan di Jalan Tanjung Batu, dekat Tawau, 9.21 malam hari sama,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa berumur 24 tahun dilaporkan hilang sejak 3 November lalu ditemui mati di di ladang berkenaan kira-kira 2 petang.

Beliau berkata, mayat ditemui oleh ahli keluarga mangsa.

“Siasatan mendapati suspek adalah seorang penagih dadah dan mengakui sendiri terbabit dalam kes bunuh wanita berkenaan.

“Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai motif pembunuhan,” katanya.

Peter berkata, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 7:19 PM