Abang Johari (kiri) menerima kunjungan hormat Ruslin di pejabatnya di DUN Sarawak hari ini. FOTO Bernama


SARAWAK merekodkan kadar daftar kelahiran lewat kedua tertinggi di Malaysia selepas Sabah.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh berkata, terdapat lebih 3,000 pendaftaran lewat kelahiran dicatat di Sarawak setiap tahun.

“Faktor utama pendaftaran lewat kelahiran di Sarawak ini kerana mereka tinggal di kawasan pedalaman dan kebanyakannya tidak mampu datang ke pejabat JPN kerana masalah logistik serta kos tinggi,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Bangunan DUN Sarawak semalam.

Mengenai perjumpaan dengan Abang Johari, Ruskin berkata, perkara utama yang disentuh ialah pendaftaran lewat kelahiran yang mana JPN sudah membuat penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dan aduan daripada orang awam yang melahirkan kebimbangan bahawa kerajaan akan memberhentikan pendaftaran lewat.

“Sebenarnya kita tidak memberhentikan pendaftaran lewat sebaliknya kita memperkemaskan prosedur kelulusan daftar lewat kelahiran yang mana sebelum ini di semenanjung, kuasa kelulusan diberi kepada pengarah negeri dan selepas SOP baharu dikuatkuasa, kuasa membuat kelulusan adalah di peringkat ibu pejabat.

“Bagaimanapun di Sabah dan Sarawak, kelulusan daftar lewat kelahiran ini berada di bawah pengarah negeri iaitu pendaftar wilayah Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi semenanjung pendaftaran untuk satu kelahiran perlu dibuat dalam tempoh 60 hari dan selepas tempoh itu, ia dikira pendaftaran lewat kelahiran.

Di Sarawak katanya, berdasarkan akta sedia ada, pendaftaran bagi satu kelahiran perlu dibuat dalam tempoh 42 hari.

“Apabila berakhir tempoh itu, mereka akan melalui beberapa proses ‘checklist’ yang berbeza untuk menentukan kesahihan kelahiran itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ruslin berkata, pihaknya ada unit khas bergerak berpusat di Kuching, Miri dan Bintulu bagi membantu penduduk di kawasan pedalaman Sarawak yang tidak mampu berurusan dengan JPN.

Katanya, ketiga-tiga unit khas itu akan memasuki kawasan pedalaman bagi membantu mereka mendaftarkan anak serta mendaftarkan kematian jika ada.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 12:29 PM