GAMBAR Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


RANTAI emas bernilai RM2,000 milik peniaga kedai runcit dilarikan lelaki yang menyamar pelanggan di Kampung Paya Berenjut, Chukai kelmarin.

Kejadian 11.30 pagi itu berlaku ketika wanita berusia 66 tahun terbabit berada di kedai runcitnya sebelum didatangi lelaki yang membeli 10 biji telur dan beredar selepas membuat pembayaran.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek masuk semula ke kedai itu beberapa minit kemudian kononnya untuk membeli barangan lain.

Beliau berkata, suspek bertindak menarik rantai leher mangsa ketika warga emas itu mahu mengambil barang yang diminta sebelum lelaki terbabit melarikan diri dengan menunggang motosikal.

“Mangsa tidak cedera dan ketika kejadian, tiada pelanggan di premis itu.

“Susulan kejadian, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chukai untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hanyan berkata, usaha mengesan suspek dipercayai berusia 20-an giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun.

Katanya, pihaknya juga akan mendapatkan maklumat daripada orang awam yang memaklumkan kejadian sama turut berlaku di kedainya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 1:45 PM