KEADAAN tiga rumah teres dan dua kenderaan yang musnah dalam kebakaran di Taman Harapan Baru, Seremban, malam ini. FOTO ihsan bomba.
Raja Noraina Raja Rahim


TIGA rumah teres di Taman Harapan Baru, Seremban, musnah dalam kebakaran malam ini.

Dalam kejadian 7 malam itu, sebuah van dan motosikal turut musnah.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.55 malam.

Beliau berkata, tiga jentera membabitkan kekuatan tiga pegawai dan 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban serta Seremban 2 dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan tiga rumah teres yang terletak bersebelahan dan kami kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 8.36 malam.

“Sebuah rumah, van dan motosikal musnah 100 peratus manakala dua lagi rumah musnah 60 peratus. Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 11:43 PM