MALAYSIA tidak melalui empat musim seperti musim bunga, panas, luruh dan sejuk kerana kedudukannya berdekatan dengan garis khatulistiwa. Tetapi kita bertuah kerana tidak perlu hadapi selesema dan penyakit influenza yang biasanya dikaitkan dengan perubahan empat musim, serta keadaan seperti gangguan afektif bermusim (seasonal affective disorder).

Bagaimanapun, langit tidaklah selalu cerah dalam iklim tropika negara kita. Secara umumnya, cuaca di Malaysia biasanya sama ada panas dan kering, atau basah dan hujan, bergantung kepada musim monsun, cuaca boleh berubah dengan pantas pada hari yang sama. Selain itu, cuaca boleh menjadi melampau atas sebab semula jadi atau buatan manusia, lalu membawa kepada kemarau, banjir atau kejadian fenomena cuaca yang lain. Malah, kita baru sahaja hadapi tempoh jerebu yang sangat teruk pada September lalu.

Cuaca dan kesihatan

Keadaan cuaca boleh menjejaskan kesihatan dan menyebabkan kita jatuh sakit, terutamanya ketika krisis iklim global ini. Pada hari hujan, kita cenderung mengalami selesema atau demam akibat perubahan suhu ataupun pendedahan kepada patogen yang meningkat. Krisis iklim global telah meningkatkan kejadian hujan, ribut dan banjir, serta penyakit jangkitan bawaan air seperti demam kepialu, taun dan leptospirosis semakin bertambah.

Manakala, suhu yang meningkat akibat pemanasan global juga telah menyebabkan penyakit bawaan serangga meningkat seperti malaria dan denggi. Cuaca panas dan kering terutamanya ketika kemarau, juga menyebabkan penyakit berkaitan haba seperti kekejangan haba, strok haba dan dehidrasi. Penyakit lain termasuklah jangkitan pernafasan dan denggi juga boleh meningkat pada waktu ini.

Jerebu juga teruk; sehingga 40% peningkatan dalam penyakit berkaitan jerebu, termasuk jangkitan salur pernafasan atas, asma, konjunktivitis dan ruam banyak dilaporkan semasa tempoh jerebu teruk pada September baru-baru ini.

Perlindungan daripada cuaca

Kita tidak boleh mengawal cuaca tetapi kita boleh mengelak daripada sakit dengan mengamalkan langkah pencegahan dalam keluarga:

• Perkuatkan sistem imun

Sistem imun anda melindungi badan anda daripada jangkitan dan penyakit. Gaya hidup sihat membantu sistem imun yang kuat dan salah satu aspek penting ialah pemakanan. Penyelidikan telah menunjukkan individu yang kurang seimbang pemakanannya (contohnya akibat kekurangan mikronutrien) lebih mudah dijangkiti penyakit. Diet yang seimbang dan pelbagai akan memberikan anda nutrien penting yang diperlukan badan anda, tetapi anda juga boleh ambil multivitamin dan suplemen mineral, jika perlu.

Satu lagi komponen penting dalam keimunan kita ialah usus, yang berperanan sebagai barisan hadapan dalam sistem imun kita. Probiotik boleh membawa kebaikan kepada kesihatan usus kita. Penyelidikan yang dijalankan oleh Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2018 menunjukkan bahawa pengambilan teratur minuman susu berkultur yang mengandungi probiotik L. acidophilus dan L. paracasei berpotensi menambah baik sistem imun. Aspek gaya hidup sihat lain termasuklah senaman yang teratur, tidur yang cukup, pengurusan tekanan, turut membawa kepada sistem imun dan badan yang sihat.

• Jauhi pendedahan kepada unsur

Hadkan pendedahan anda kepada unsur cuaca dengan berada di dalam bangunan dan mengehadkan aktiviti luar. Jika anda perlu keluar, lindungi diri anda:

■ Musim hujan: Gunakan payung atau baju hujan pada hari hujan dan elakkan lopak air.

■ Banjir: Elakkan air banjir sebaik mungkin dan larang anak anda bermain dalam air banjir.

■ Jerebu: Pakai topeng muka semasa hari jerebu dan berhabuk dan semak Indeks Pencemaran Udara.

■ Musim panas: Kekal hidrasi badan anda secukupnya semasa hari panas dan elakkan berada di bawah matahari terlalu lama.

■ Serangga: Lindungi diri anda daripada nyamuk dan gigitan serangga dengan penghalau serangga dan kelambu, dan dengan memakai pakaian lengan panjang semasa keluar.

• Amalkan kebersihan yang baik

Ironiknya, meluangkan lebih banyak masa di dalam rumah dan berada berdekatan dengan orang lain boleh memudahkan jangkitan. Maka, amalan kebersihan yang baik adalah penting. Ini termasuk membasuh tangan sebelum dan selepas menyediakan makanan atau makan, selepas menggunakan tandas dan selepas menyentuh haiwan peliharaan. Tutup muka anda semasa batuk atau bersin menggunakan sapu tangan atau tisu.

• Jagaan rapi untuk yang lemah

Tumpukan lebih perhatian kepada ahli keluarga yang lebih mudah terjejas semasa perubahan cuaca dan jangkitan, seperti kanak-kanak kecil, orang tua, dan mereka yang mempunyai isu kesihatan seperti masalah kardiovaskular atau pernafasan. Sistem imun mereka lebih lemah berbanding orang dewasa biasa dan mereka harus dijaga terlebih dahulu. Peka terhadap sebarang tanda kesihatan yang terjejas.

Biasanya, kita hanya risau tentang cuaca jika ia mengganggu rutin harian: contohnya, hujan lebat akan mengakibatkan kesesakan lalu lintas. Tetapi kita cenderung untuk terlepas pandang bagaimana cuaca juga boleh menjejaskan kesihatan kita, terutamanya mereka yang lemah atau berisiko dalam keluarga kita.

Cuaca mungkin bukan penyebab langsung sesuatu penyakit tetapi cuaca yang teruk boleh menjadi agen tidak langsung untuk jangkitan penyakit. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan!

Artikel ini ihsan Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia (DHM) dan Program Penghadaman Sihat VITAGEN (VHDP), sempena Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia 2019. Dr Lee Hock Bee ialah Pakar Perunding Bedah Kanan, dengan kepakaran dalam Gastroenterologi Surgikal, Onkologi Surgikal, Endoskopi Gastrousus, dan Pembedahan Laparoskopik. Beliau juga Ahli Majlis DHM. Beliau tidak berkaitan dan tidak menyokong sebarang jenama atau produk. Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-56323301.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 10:00 AM