Balqis Jazimah Zahari


LELAKI maut dipercayai terjatuh dari tingkat 23 sebuah apartmen di Bandar Meru Raya, Ipoh hari ini.

Difahamkan, lelaki berusia 55 tahun itu ditemui 11.55 pagi oleh orang awam dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di laluan tempat letak kenderaan tingkat bawah apartmen berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati mangsa terjatuh dari tingkat 23 dan mendapati ada seorang wanita dalam keadaan mabuk di dalam rumah.

“Polis pada mulanya mengalami kesukaran untuk meminta wanita itu membuka pintu kerana dalam keadaan mabuk, selepas pintu dibuka kami membawa wanita itu ke hospital untuk pemeriksaan,” katanya ketika ditemui di lokasi.


Mangsa ditemui mati di laluan tempat letak kenderaan tingkat bawah apartmen. FOTO Muhaizan Yahya

A Asmadi berkata, pemeriksaan di dalam rumah itu menemui kerusi di luar balkoni apartmen dan siasatan awal mendapati mangsa memanjat kerusi berkenaan sebelum terjatuh.

Menurutnya, pemeriksaan juga tidak menemui kesan pergelutan dan maklumat awal diperoleh mendapati mangsa berada dalam keadaan kemurungan selepas diberhentikan kerja beberapa bulan lalu.

“Mangsa dipercayai berada dalam keadaan tertekan dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

“Siasatan juga sedang dijalankan bagi mengenalpasti hubungan wanita berkenaan dengan mangsa dan maklumat diperoleh mendapati isterinya berada di Melaka,” katanya.

Menurut A Asmadi, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 5:42 PM