LELAKI yang ditemui terapung di perairan Pulau Tuba, Langkawi diselamatkan oleh kru feri Starcity 6. FOTO IHSAN FERRI LINE VENTURES SDN BHD
Hamzah Osman

Langkawi: Sekumpulan kru sebuah feri penumpang menyelamatkan seorang lelaki dipercayai nelayan yang ditemui terapung di perairan Pulau Tuba di sini, semalam.

Ketika kejadian jam 10.55 pagi itu, feri Starcity 6 berkenaan dalam pelayaran dari Kuala Kedah menuju ke Pulau Langkawi.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, feri yang membawa 351 penumpang itu berlepas dari Terminal Penumpang Kuala Kedah jam 9.30 pagi.

“Terdahulu, Kapten Ling Heng Teck yang mengendalikan feri memaklumkan menemui satu objek terapung menyerupai manusia di perairan Pulau Tuba selepas sejam setengah berlepas dari Kuala Kedah.

“Sejurus mengesahkan objek itu adalah manusia, kapten dan kru feri mengambil keputusan menyelamatkan mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Baharin berkata, usaha menyelamat mangsa ketika itu dalam keadaan lemah mengambil masa 45 minit.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Langkawi pada jam 12.15 tengah hari untuk diberikan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Sementara itu Ketua Penolong Pengarah, Pejabat Laut Kuah, Langkawi, Ghazali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 6:05 AM