PELANCONG berpeluang melihat persembahan dan beri makan kepada gajah di PKGK, semalam.
Mohd Rafi Mamat


TEMERLOH: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, di sini, menerima kedatangan seramai 170,000 pengunjung dalam tempoh 10 bulan tahun ini.

Ketuanya, Muhammad Khairul Adha Mat Amin berkata, tahun lalu seramai 211,554 pengunjung yang datang untuk melihat pelbagai aktiviti membabitkan gajah yang diadakan selain turut melawat galeri haiwan liar itu.

Menurutnya, jumlah kehadiran pelancong tempatan dan asing ke PKGK Kuala Gandah bertambah setiap tahun.

Katanya, walaupun aktiviti menaiki gajah sudah lama tidak diadakan disebabkan faktor keselamatan namun ia tidak sedikitpun menjejaskan kehadiran pelancong tempatan dan luar negara.

“Selain melihat persembahan gajah di pentas utama sambil memberi makan tembikai dan tebu, pelancong juga diberi peluang mandi di Sungai Teris bersama anak haiwan terbabit sambil ditemani mahut atau gembala.

“Di kawasan kurungan terbuka, pelancong berpeluang melihat gajah bergerak bebas di bawah pokok dalam suasana hutan sebenar,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, kebanyakan yang datang ke PKGK Kuala Gandah adalah pelancong berulang dan mereka tetap teruja melihat gajah dewasa dan anaknya.

Muhammad Khairul Adha berkata, PKGK Kuala Gandah yang adalah produk pelancongan bertaraf antarabangsa yang dibuka setiap hari kecuali pada perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 6:15 AM