BENDERA parti calon di laluan utama kawasan Parlimen Tanjung Piai para hari ketiga kempen Pilihan Raya Kecil (PRK). FOTO Mohd Azren Jamaludin
BERNAMA

BERBAKI dua hari lagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, pastinya calon yang bertanding akan meningkatkan lagi usaha mereka untuk menawan hati pengundi yang ternyata berbeza demografinya berbanding lapan PRK yang berlangsung selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sebelum ini.

Antara yang menjadi perbandingan pastinya manifesto atau janji yang dilihat ‘dekat dengan hati rakyat’, yang berkemungkinan menjadi faktor penentu bagi pengundi untuk memilih wakil rakyat bagi parlimen mereka bagi tempoh berbaki kira-kira tiga tahun setengah.

Apa yang boleh dilihat, kebanyakan calon menjanjikan sesuatu yang lebih realistik, sekali gus menjadikan mereka yakin bahawa ia mampu dilaksanakan sekiranya seorang daripada mereka terpilih menjadi wakil rakyat parlimen itu.

Bagi calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, pastinya lima fokus yang digariskan parti lebih awal menjadi tonggak baginya untuk menunaikan tanggungjawab sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai.

Lima fokus itu adalah mencari jalan bantu tangani isu kos sara hidup, menangani isu berkenaan pencemaran alam dan sungai, memperbanyakkan rumah mampu milik, meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan perubatan serta meningkatkan peluang pekerjaan.

“Saya rasa selain lima isu yang dibangkitkan, kita sudah kenal pasti masa depan pembangunan di Tanjung Piai seperti jambatan baharu yang akan merentasi Sungai Pulai akan menjadi penghubung baharu dari Johor Bahru ke Tanjung Piai.

“Ini juga adalah satu faktor untuk menaikkan ekonomi dalam industri pelancongan, selain mengambil kira tiga sektor penting (di Tanjung Piai) iaitu dari segi ekonomi pertanian, perikanan dan industri,” katanya seawal ketika diumumkan sebagai calon PH, beberapa minggu lalu.

Keyakinan yang dilahirkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai itu pastinya disebabkan dorongan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan yang kedua-duanya dipimpini kerajaan PH.

Sementara itu, dua lagi calon juga tidak mahu ketinggalan dalam menangani isu yang menjadi kebimbangan rakyat di Parlimen Tanjung Piai.

Bagi calon Gerakan, Wendy Subramaniam, beliau menggariskan tiga perkara utama yang dilihat boleh memastikan kesejahteraan penduduk kawasan parlimen tersebut.

Tiga perkara itu memfokuskan kepada usaha menambah peluang pekerjaan dalam usaha mempertingkatkan peluang ekonomi dan industri masyarakat Tanjung Piai, menangani kenaikan kos sara hidup selain menjaga kebajikan dan keselamatan sosial masyarakat di situ.

“Saya akan berusaha untuk memajukan ekonomi dan sektor pelancongan tempatan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi menarik balik anak muda bekerja di sini,” kata beliau yang sudahpun berjaya bertemu penduduk meliputi 60 peratus daripada 27 kawasan pusat daerah mengundi (PDM) setakat Isnin.

Sementara itu, calon Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, menyifatkan tawaran parti itu bukanlah bersifat berhati-hati, tetapi menggambarkan satu ‘kejujuran’ sebagai pembangkang.

“Bukan semuanya material. Tawaran tersebut sesuai dengan keperluan tempatan. Selain itu, membangunkan jati diri penting untuk membina masyarakat yang berpegang teguh dengan agamanya agar masalah sosial dapat dihindari,” tambah Badhrulhisham.

Menurut beliau, sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawabnya untuk membawa suara rakyat supaya keperluan asas itu tidak diabaikan oleh kerajaan.

Berjasa menawarkan empat tawaran iaitu melahirkan lebih ramai usahawan atau pemborong Melayu bagi membantu petani dan nelayan; mengetengahkan projek usahawan desa yang memasarkan produk di peringkat lebih tinggi; memaksimumkan projek pembangunan tanah untuk ekonomi orang Melayu serta memperkasa institusi kekeluargaan melalui Program Keluarga Syurga Tanjung Piai.

PRK Parlimen Tanjung Piai bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru Sabtu ini, yang turut melibatkan calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan dua calon bebas iaitu Faridah Aryani Abdul Ghaffar dan Dr Ang Chuan Lock.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 8:42 AM