Kebakaran dua rumah yang menyebabkan seorang penghuninya melecur. FOTO Ihsan JBPM
Nor Farhani Che Ad


LELAKI melecur 40 peratus anggota badan selepas terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Taman Kenari, Batu 2, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani hari ini.

Guru tuisyen, Loo Xiao Hong, 44, diselamatkan jirannya selepas menyedari mangsa masih berada di dalam rumah ketika kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 8.04 pagi.

Beliau berkata, 13 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani bergegas ke lokasi dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani.

“Kebakaran membabitkan dua rumah kelas B dan terdapat seorang lelaki melecur 40 peratus anggota badan selepas dikatakan terperangkap di dalam salah sebuah rumah yang terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa diberi rawatan awal oleh anggota bomba sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut.

Mohamadul Ehsan berkata, kebakaran juga menyebabkan rumah mangsa terbakar 90 peratus manakala sebuah lagi rumah terbakar 50 peratus.

Katanya, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 12:42 PM