GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


PESARA guru kerugian RM113,600 selepas diperdaya sindiket Macau Scam dengan mendakwa mangsa ada tunggakan kad kredit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, kejadian berlaku bulan lalu apabila wanita berusia 74 tahun itu menerima panggilan telefon individu yang mendakwa dari Mahkamah Kuantan.

“Suspek mendakwa mangsa ada hutang kad kredit RM13,000. Mangsa menafikan perkara itu.

“Panggilan kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mengaku Inspektor Nila dan meminta butiran akaun mangsa serta mengarahkan mangsa ke bank.

“Sebaik tiba di sebuah bank di Port Dickson, mangsa diminta ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mengikut arahan suspek kononnya untuk tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aibee, tujuh pindahan wang dilakukan ke tiga akaun bank berlainan dengan jumlah keseluruhan RM113,600 dari 1 hingga 7 November lalu.

“Mangsa hanya menyedari diperdaya selepas menyemak akaunnya hanya berbaki RM200,” katanya.

Berikutan itu katanya, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 12:50 PM