Rizanizam Abdul Hamid


BURUH Rohingya dari Myanmar dijatuhi hukuman penjara satu hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM100 kepada pegawai polis Ogos lalu.

Tertuduh, Mohamad Amin Aman Hussain, 21, yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin selepas mengangguk faham pertuduhan dan fakta kes yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Rohingya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memberi rasuah RM100 kepada seorang Lans Koperal Polis Diraja Malaysia sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadapnya yang melakukan kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen sah.

PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengiringi tertuduh, Mohamad Amin Aman Hussain, 21, (tengah) selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM100 kepada pegawai polis ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad

Kesalahan itu dilakukannya pada kira-kira 6 petang 28 Ogos, Jalan Tebong, Alor Gajah di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah subsesyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa Nur Syakila Yaacob memohon kepada mahkamah, mengenakan hukuman setimpal.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan kerana mempunyai ayah dan ibu yang sakit selain menanggung dua adik di Myanmar.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohd Nasir kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara sehari dan denda RM10,000, jika gagal bayar boleh dipenjara tiga bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 1:05 PM